Contohi akhla...

Contohi akhlak Rasulullah S.A.W

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jan – Mencontohi akhlak Rasulullah S.A.W secara sempurna memang sukar kerana Baginda digambarkan sebagai insan kamil (manusia sempurna) yang tidak ada bandingnya.

Namun demikian, bukan bererti mustahil untuk mencontohi Baginda kerana umat Islam dituntut berusaha tanpa mengira apa pun hasilnya. Mencontohi akhlak Baginda hendaklah diusahakan bersungguh-sungguh dan memerlukan proses yang panjang.

Perkara ini ditekankan dalam ceramah bertajuk ‘Mencontohi Ketinggian Akhlak Nabi Muhammad S.A.W’ yang disampaikan oleh Pegawai Ugama Kanan, Pusat Dakwah Islamiah, Hajah Zunainah binti Haji Gunong pada majlis ceramah sempena Maulidur Rasul anjuran Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Negara Brunei Darussalam dengan kelolaan Cawangan WI Daerah Brunei dan Muara petang tadi.

Hajah Zunainah seterusnya menjelaskan bahawa antara cara-cara praktikal yang dapat dilakukan oleh seseorang umat Islam untuk mencontohi akhlak Rasulullah S.A.W adalah dengan bertaubat kepada Allah S.W.T atas segala dosa dan kesalahan yang dilakukan setiap hari.

Menurut beliau, sebagai manusia biasa, seseorang itu hendaklah menyedari bahawa mereka tidak akan terlepas daripada berbuat kesalahan dan dosa, baik kepada Allah S.W.T mahupun kepada sesama manusia.

Datin Hajah Masni semasa menyampaikan ucapan.
Datin Hajah Masni semasa menyampaikan ucapan.
Antara yang hadir mendengarkan ceramah tersebut.
Antara yang hadir mendengarkan ceramah tersebut.
Dayang Hajah Zunainah semasa menyampaikan ceramah.
Dayang Hajah Zunainah semasa menyampaikan ceramah.

Selain itu, umat Islam juga diseru untuk menjaga amanah yang diberikan oleh Allah S.W.T kepada mereka selaku manusia yang mana amanah apa pun yang diberikan adalah wajib dilakukan sesuai dengan apa yang dikehendaki oleh pemberi amanah tersebut.

Umat Islam juga digalakkan untuk mengamalkan sifat jujur dalam kehidupan seharian kerana sifat jujur itu merupakan sifat yang mulia namun memerlukan pengorbanan untuk diwujudkan.

Ceramah juga turut menyentuh mengenai dengan sirah Baginda yang dapat dijadikan contoh agar umat Islam dapat menjadi hamba Allah S.W.T yang benar-benar diredai antaranya sifat positif Baginda, sifat tawaduk Baginda, Baginda sebagai suami dan Baginda bersama golongan bukan Islam.

Majlis ceramah yang berlangsung di Masjid Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah itu dihadiri oleh ahli-ahli persatuan tersebut.

Penasihat Pertubuhan WI, Datin Hajah Masni binti Haji Mohammad Ali dalam ucapannya menjelaskan, majlis diadakan adalah untuk menyemarakkan Sambutan Maulidur Rasul di negara ini bagi memperingati kelahiran Nabi Muhammad S.A.W di samping memperingati serta mengenang jasa Rasulullah S.A.W dalam membawa dan memperjuangkan syiar Islam.

Selain itu juga untuk memperbaharui azam umat Islam di negara ini agar lebih menguatkan pegangan kepada agama Islam yang dibawa oleh Baginda.

Majlis ceramah petang tadi itu kemudian turut diserikan lagi dengan laungan dikir dan Asma’ul Husna beramai-ramai.

ARTIKEL YANG SAMA