Contohi keperibadian Rasulullah dengan amalan sunnah

Contohi keperibadian Rasulullah dengan amalan sunnah

Oleh Normazlina M.D, Hajah Saemah Kepli & Ampuan Irma Susanti

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Dis – Walaupun tidak menyertai perarakan, kaum wanita di negara ini turut tidak ketinggalan menyemarakkan Sambutan Maulidur Rasul dengan perhimpunan-perhimpunan di seluruh negara yang diisi dengan ceramah khas dan Dikir Marhaban serta persembahan-persembahan bercorak keagamaan.

Di Daerah Belait, Majlis Perhimpunan Wanita Peringkat Daerah Belait yang membawa tema ‘Menghayati Sunnah Rasulullah S.A.W’ telah diadakan di Dewan Persidangan Kuala Belait dan dihadiri oleh lebih 600 orang wanita yang mewakili persatuan-persatuan, Muslimah masjid, pegawai dan kakitangan kerajaan dan syarikat swasta, ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung serta orang perseorangan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah isteri timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datin Dr. Hajah Asmah binti Haji Morni.

Perkongsian ilmu melalui ceramah pada majlis itu telah disampaikan oleh penceramah undangan dari Pusat Dakwah Islamiah, Dayang Norhayati bin Haji Abdul Rahman.

Datin Dr. Hajah Asmah ketika menghadiri Majlis Perhimpunan Wanita di Daerah Belait.
Datin Dr. Hajah Asmah ketika menghadiri Majlis Perhimpunan Wanita di Daerah Belait.
Antara persembahan Tausyeh oleh guru-guru Agama di Daerah Belait.
Antara persembahan Tausyeh oleh guru-guru Agama di Daerah Belait.
Majlis Perhimpunan Wanita di Daerah Temburong dihadiri oleh isteri timbalan menteri pendidikan.
Majlis Perhimpunan Wanita di Daerah Temburong dihadiri oleh isteri timbalan menteri pendidikan.

Sementara itu, di Daerah Temburong, majlis berlangsung di Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar dengan dihadiri oleh lebih 400 orang wanita yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan kerajaan, guru, penduduk mukim dan kampung serta ahli-ahli persatuan wanita di daerah berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah isteri timbalan menteri pendidikan, Datin Hajah Jamaiah binti Haji Abd Manaf.

Ceramah khas Maulud pula telah disampaikan oleh Dayang Siti Noraziah binti Haji Asli, dari Bahagian Penyebaran Dakwah, Pusat Dakwah Islamiah.

Di Daerah Tutong pula, majlis seumpamanya telah diadakan di Dewan Utama, Kompleks Kemasyarakatan Daerah Tutong yang dihadiri oleh kira-kira 600 orang yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan kerajaan dan para Muslimah masjid dan kampung.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah isteri pemangku setiausaha tetap di Kementerian Pertahanan, iaitu Dayang Anisamawati binti Haji Osman.

Hadir selaku tetamu kehormat di Majlis Perhimpunan di Daerah Tutong ialah isteri pemangku setiausaha tetap di Kementerian Pertahanan.
Hadir selaku tetamu kehormat di Majlis Perhimpunan di Daerah Tutong ialah isteri pemangku setiausaha tetap di Kementerian Pertahanan.
Hajah Zunainah ketika menyampaikan ceramah khasnya di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong.
Hajah Zunainah ketika menyampaikan ceramah khasnya di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong.
Antara yang hadir semasa perhimpunan wanita tersebut.
Antara yang hadir semasa perhimpunan wanita tersebut.

Ceramah khas telah disampaikan oleh Pegawai Ugama Kanan di Pusat Dakwah Islamiah, Hajah Zunainah binti Haji Gunong yang antara lain menekankan, kedudukan orang yang menghayati sunnah Rasulullah S.A.W seperti menjunjung agama, mengamalkan sunnah Baginda dalam kehidupan seharian, mengikuti perkataan dan perbuatan Baginda dalam setiap keadaan, melaksanakan suruhan dan menjauhi larangannya, dipandang agung dan mulia.

Ini kerana, jelas beliau, Rasulullah S.A.W akan memberikan ganjaran khusus bagi orang yang selalu berusaha mengamalkan sunnahnya, lebih-lebih lagi sunnah yang telah ditinggalkan dan dilupakan oleh kebanyakan orang sebagaimana yang diriwayatkan Ibnu Majah.

“Bahkan para ulama juga menjelaskan bahawa orang yang menghidupkan sunnah Rasulullah S.A.W akan mendapat dua keutamaan (pahala) iaitu keutamaan mengamalkan sunnah itu sendiri dan keutamaan menghidupkannya di tengah-tengah manusia yang telah melupakannya,” kata Hajah Zunainah lagi.

ARTIKEL YANG SAMA