Contohi keperibadian Rasulullah

Contohi keperibadian Rasulullah

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Dis – Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya tidak ketinggalan menyemarakkan Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW bagi Tahun 1437H/2015M dengan mengadakan majlis sambutan yang berlangsung di jabatan berkenaan, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Menteri Tenaga dan Perindustrian di JPM, Dato Paduka Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar.

Juga hadir ialah Pemangku Menteri di JPM, Dato Paduka Haji Mohd Roselan bin Haji Mohd Daud, pemangku peguam negara, ketua hakim negara, ketua hakim syarie, hakim-hakim Mahkamah Tinggi Syariah, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, para pegawai kanan, pegawai dan kakitangan di JPM serta jabatan-jabatan di bawahnya.

Dato Paduka Haji Hamdan ketika menghadiri majlis tersebut.
Dato Paduka Haji Hamdan ketika menghadiri majlis tersebut.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan HaI Ehwal Masjid, Pengiran Mohammad Akbar@Pengiran Mohammad ldrus bin Pengiran Haji Mohd Sabri, disusuli dengan ceramah khas yang disampaikan oleh Ketua Unit Hal Ehwal Perhubungan Awam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Haji Sammali bin Adam.

Dalam ceramahnya, beliau antara lain mengupas mengenai sejarah kelahiran Baginda Rasulullah serta pengajaran-pengajaran yang dapat dijadikan contoh kepada umat Nabi Muhammad S.A.W selaras dengan tema sambutan pada tahun ini iaitu ‘Menghayati Sunnah Rasulullah S.A.W’.

Majlis turut diserikan dengan persembahan Dikir Maulud oleh pasukan dikir JPM, diikuti dengan bacaan doa selamat bagi memberkati majlis.

Pada tahun ini, Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W telah dikendalikan oleh Jabatan Kehakiman Negara dan Hal Ehwal Korporat dan Pentadbiran Awam, jabatan berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA