Contohi orang bijaksana

Contohi orang bijaksana

LONDON, 14 Jun – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah mengingatkan orang-orang Brunei di mana saja berada, janganlah mendekati, apatah lagi terlibat dengan perkara-perkara yang merugikan diri sendiri dan negara.

Laksanakan saja tugas dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin, bagi mereka yang sedang berkhidmat, dan tumpukan perhatian sepenuh masa kepada pelajaran atau pengajian bagi mereka yang sedang menuntut. Hindarkan diri daripada sebarang elemen meragukan, yang kurang atau tidak tahu asal usulnya.

Titah Baginda, situasi dunia dan persekitarannya hari ini adalah sangat mudah untuk menjerat rakyat Brunei, terutama para penuntut, kepada pengaruh-pengaruh negatif yang merosakkan.

Memang banyak perkara yang berlaku di sekeliling, tetapi belum tentu semua itu berfaedah. Sebab itu pastikan, yang rakyat adalah sentiasa berhati-hati atau beringat-ingat terhadap apa saja yang terhidang atau dihidang di hadapan mereka.

“Inilah cara orang-orang bijaksana mengurus dan melayani keadaan. Mereka itu tidak lalai daripada melakukan penilaian, sebelum, ianya patut ataupun tidak untuk diterima. Dengan cara inilah, orang-orang itu dapat menyelamatkan diri mereka,” titah Baginda pada Majlis Perasmian Brunei House Dalam Bentuknya Yang Baru yang terletak di Leinster Square, London, United Kingdom.

Berangkat sama pada majlis tersebut ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

Baginda Sultan berkenan Santap Malam bersama ahli-ahli jawatankuasa dan para jemputan termasuk pegawai-pegawai kerajaan yang sedang menjalani Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) serta para penuntut Negara Brunei Darussalam di United Kingdom. – Infofoto
Baginda Sultan berkenan Santap Malam bersama ahli-ahli jawatankuasa dan para jemputan termasuk pegawai-pegawai kerajaan yang sedang menjalani Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) serta para penuntut Negara Brunei Darussalam di United Kingdom. – Infofoto
Baginda Sultan berkenan bergambar ramai bersama ahli-ahli Jawatankuasa Majlis Perasmian Brunei House. – Infofoto
Baginda Sultan berkenan bergambar ramai bersama ahli-ahli Jawatankuasa Majlis Perasmian Brunei House. – Infofoto
Baginda Sultan berkenan menyaksikan kemudahan yang terdapat di Brunei House.
Baginda Sultan berkenan menyaksikan kemudahan yang terdapat di Brunei House.

Baginda seterusnya bertitah menyatakan Brunei adalah sebuah negara, yang sering dilihat mampu, untuk menggagalkan golongan pengkritik daripada terus mengkritik. Ini adalah rahmat Allah Subhanahu Wata’ala kepada negara, berkat berjalan mengikut syariatNya.

Oleh itu, peliharalah baik-baik jalan ini, tanpa berpaling daripadaNya. Memelihara itu di sini, sama maknanya memelihara kemuliaan ugama, kemuliaan diri sendiri, kemuliaan bangsa dan negara.

Mengenai perasmian Brunei House dalam bentuknya yang baru, Baginda menyifatkannya sebagai satu lagi sejarah bagi Negara Brunei Darussalam. Ia berlaku setelah 31 tahun negara mencapai kemerdekaan, dan sebelum itu, Negara Brunei Darussalam memiliki sebuah rumah yang letaknya di tengah-tengah kota London, yang dipanggil dengan nama: “Brunei House.”

Menurut Baginda, tujuan awal bangunan tersebut diasaskan ialah untuk menempatkan penuntut-penuntut Negara Brunei Darussalam. Kemudian, setelah Brunei mempunyai sebuah lagi bangunannya, Brunei Hall, yang secara khusus diperuntukkan untuk penuntut-penuntut Brunei, maka Brunei House pun ditukar fungsinya menjadi rumah tumpangan bagi pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan, semasa mereka, sama ada dalam bertugas atau sedang bercuti di United Kingdom.

Fungsi baru tersebut kekal sampailah sekarang. Cuma di masa-masa lalu itu, terdapat banyak kekurangan di sana sini, yang memerlukan pembaikan. Maka bersabit itu, Baginda pun telah memperkenankan supaya dilakukan pembaikan tersebut.

Kini, Brunei telah sampai kepada matlamat yang dihajati. Dengan izin Allah jua, rakyat dapatlah menyaksikan sebahagian dari bangunan yang telah diubahsuai begitu rupa, yang diyakini dapat menepati cita rasa keBruneian.

Baginda percaya, bangunan tersebut mampu memberikan keselesaan kepada sesiapa saja yang mendiaminya, berasaskan kepada kemudahan-kemudahan yang terdapat di dalamnya.

Di samping mempunyai bilik-bilik yang bagus dan moden, ia juga dilengkapi dengan kantin, taman dan surau.

Baginda difahamkan, kegunaan surau, selain untuk sembahyang, ia juga boleh digunakan untuk kegiatan-kegiatan berkebajikan, seperti mengadakan ceramah-ceramah untuk penuntut atau untuk belajar Al-Quran dan ugama bagi anak-anak para pegawai dan kakitangan Suruhanjaya Negara Brunei Darussalam di kota London atau lain-lain.

Brunei House Dalam Bentuknya Yang Baru yang terletak di Leinster Square, London, United Kingdom. – Infofoto
Brunei House Dalam Bentuknya Yang Baru yang terletak di Leinster Square, London, United Kingdom. – Infofoto

Baginda bertitah ini adalah satu perkembangan yang sangat menyenangkan.

Baginda mengakhiri titah dengan berpesan supaya Brunei House dapat mencerminkan Brunei yang sebenar-benarnya tanpa dibayangi oleh lain-lain.

“Dari luaran sampai di dalamnya, biarlah ianya benar-benar Brunei. Maksud Beta, apa saja yang ada di dalamnya akan turut menggambarkan tentang Brunei: Brunei yang indah, Brunei yang pasti dan Brunei yang beragama.

“Semakin lama bangunan tersebut, semakin ia perlu dijaga dengan baik. Jangan ada tangan-tangan yang memungutnya,” tegas Baginda seraya mengingatkan bahawa memugut itu bukanlah sifat Brunei.

Terdahulu, keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Brunei House, London dijunjung oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman dan Menteri Kewangan II (Kedua) di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Majlis Perasmian Brunei House, berserta ahli-ahli jawatankuasa majlis yang lain.

Sejurus Keberangkatan tiba, Baginda dijunjung berangkat menuju ke Surau Brunei House di mana majlis telah dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Qur’an oleh Penuntut Ijazah Lanjutan dari School of Oriental and African Studies, University of London, Awang Muhammad Faiq bin Haji Rani dan diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Pehin Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Majlis Perasmian.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya berkenan menandatangani Plak Brunei House diikuti dengan laungan Takbir yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Baginda juga berkenan menerima pesambah yang disembahkan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi. Bagi memberkati Majlis, doa selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Mufti Kerajaan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya dijunjung berangkat menandatangani Lembaran Kenangan bagi Majlis Perasmian Brunei House Dalam Bentuknya Yang Baru dan seterusnya berkenan menerima pesambah daripada Pengurus Brunei House, Pengiran Hamidah binti Pengiran Haji Othman.

Baginda kemudian berkenan berangkat beredar menyaksikan kemudahan-kemudahan yang terdapat di Brunei House yang termasuk 15 buah bilik tidur, dapur, ruang makan, ruang dobi, bilik pejabat, taman, surau dan tempat berwuduk bagi lelaki dan perempuan.

Seterusnya, Baginda berkenan berangkat bagi Majlis Santap Malam bersama ahli-ahli jawatankuasa dan para jemputan termasuk pegawai-pegawai kerajaan yang sedang menjalani Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) serta para penuntut Negara Brunei Darussalam di United Kingdom.

Sebelum berangkat meninggalkan Majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengadakan sesi bergambar ramai bersama ahli-ahli Jawatankuasa Majlis Perasmian Brunei House.