COP bantu golongan kurang berkemampuan

COP bantu golongan kurang berkemampuan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Dis – Lebih ramai golongan belia diseru untuk menyertai dan mengambil bahagian dalam kegiatan-kegiatan kebajikan serta kerja-kerja kesukarelawanan kerana ia bukan sahaja amat penting untuk melibatkan golongan muda dalam kegiatan pemedulian golongan yang kurang bernasib baik tetapi mereka itu juga bakal menjadi peneraju bagi meneruskan kerja-kerja kebajikan bagi membantu golongan yang memerlukan itu.

Seruan itu dinyatakan oleh Yang Di-Pertua Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM), Datin Paduka Hajah Intan binti Haji Mohd Kassim dalam ucapannya pada Majlis Makan Malam Penghargaan bagi Penuntut-penuntut Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang ditempatkan bersama MKM yang berlangsung di Restoran Mangrove Paradise, Kampung Sungai Belukut, Jalan Kota Batu, kelmarin.

Dalam hubungan itu, Datin Paduka Hajah Intan menyatakan bahawa MKM amat mengalu-alukan dan berharap lebih ramai penuntut UBD akan membuat latihan penempatan bagi Program Pendekatan Masyarakat (COP) mereka, kerana ia bukan sahaja memberi peluang kepada mereka untuk sama-sama mengambil peranan aktif dalam kerja kemasyarakatan dan kesukarelawanan, tetapi mereka mampu untuk menjadi peneraju atau generasi penerus bagi kerja-kerja kemasyarakatan yang dilaksanakan oleh MKM.

Beliau juga percaya bahawa para penuntut UBD itu mampu untuk menjadi penghubung bagi menarik minat dan memberikan pendedahan kepada lebih ramai golongan belia supaya akan bergiat aktif dalam kegiatan-kegiatan kebajikan dan kesukarelawanan.

Seramai enam orang penuntut UBD menyertai program penempatan COP mereka bersama MKM bermula 2 September hingga 9 Disember, di mana sepanjang penempatan itu, mereka berpeluang untuk menyaksikan dan menyertai dalam program-program kebajikan sosial serta membantu dalam kerja dan usaha yang dilaksanakan oleh MKM bagi menangani isu-isu sosial di Brunei serta membantu golongan yang memerlukan.

Datin Paduka Hajah Intan menyampaikan sijil dan cenderahati kepada salah seorang penuntut UBD yang diraikan.
Datin Paduka Hajah Intan menyampaikan sijil dan cenderahati kepada salah seorang penuntut UBD yang diraikan.
Antara yang menghadiri majlis berkenaan.
Antara yang menghadiri majlis berkenaan.

Mereka ialah Hajah Siti Shamsiah binti Haji Sajali, Haji Mohd Faiz bin Haji Mahanin, Awang Hamale Zadafi bin Haji Alit/Malik, Dayang Sharifah Amalina binti Malai Hamzah, Dayang Adinah Maimunah binti Khanafiah dan Mohd Noor Khuzaifah bin Hishamuddin yang juga merupakan pelajar pertukaran dari Universiti Teknologi Nanyang, Singapura.

Awang Hamale, mewakili para penuntut pada majlis berkenaan, menyatakan kepada Media Permata bahawa sepanjang penempatan mereka bersama MKM, ia banyak memberikan mereka pengalaman yang berguna dan pelajaran hidup yang akan dibawa oleh mereka sepanjang hayat.

Perasaan yang serupa turut dikongsi oleh Mohd Noor Khuzaifah yang berkata segala pengalaman dan ilmu yang dipelajari sepanjang penempatan itu, akan dibawanya balik dan dipraktikkan nanti dalam kerja-kerja kebajikan atau kemasyarakatan yang dilaksanakan nanti di Singapura.

Sepanjang penempatan mereka bersama-sama MKM, para penuntut UBD di bawah pengawasan penyelaras program dari UBD, Dayang Siti Ifwah Fauzani binti Haji Chuchu dan penyelaras dari MKM, Dr. Hajah Fatimah binti Haji Chuchu dan Hajah Salmah binti Haji Mohd Noor, mereka berpeluang untuk menyertai pelbagai kegiatan yang dilaksanakan oleh MKM.

Ini termasuk acara jualan amal, menganjurkan Bengkel mengenai Kemiskinan yang telah diadakan pada 12 November lalu untuk meningkatkan kesedaran mengenai kemiskinan dan cabaran-cabaran yang dilalui oleh para pelajar yang kurang berkemampuan serta mengadakan wawancara dengan klien-klien MKM dan menilai kriteria yang diperlukan oleh klien berkenaan supaya mereka layak bagi program sokongan MKM.

Menerusi pengalaman mereka semasa program COP itu, para penuntut berpeluang untuk meningkatkan lagi kemahiran mereka dari segi kerja berpasukan, kepimpinan dan penyampaian.

Mereka juga mendapat kesedaran mengenai isu-isu kemasyarakatan di Brunei serta berpeluang untuk menyumbang kepada masyarakat melalui kegiatan-kegiatan kebajikan dan kesukarelawanan yang disertai oleh mereka sepanjang tempoh penempatan bersama MKM.

ARTIKEL YANG SAMA