Copa tiada ‘jogo bonito’

Copa tiada ‘jogo bonito’

SANTIAGO, 30 Jun (Agensi) – Separuh akhir Copa America sekali lagi kehilangan serinya. Argentina melaksanakan tugasnya, namun Brazil, seperti Piala Dunia setahun lalu dan Copa America empat tahun lalu, tidak lagi bersinar seperti sebelum ini dan sekali lagi tersingkir daripada kejohanan utama. Paraguay menyingkirkan juara Piala Dunia lima kali 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas seri 1-1 kelmarin. Ia tidak sehebat kejutan Jerman yang mengaibkan Brazil 7-1 pada separuh akhir Piala Dunia tahun lalu, namun ia satu ingatan negara itu sudah hilang keajaiban dan tidak lagi bermain apa yang dipanggil ‘jogo bonito’

Paraguay bukan asing pada kejohanan itu. Mereka naib juara empat tahun lalu selepas tewas kepada Uruguay dan mungkin layak ke final sekali lagi. Mereka bertemu Argentina pada separuh akhir pagi esok dengan final dilangsungkan pada 5 Julai ini.

Bukan setakat Argentina mara ke separuh akhir, namun semua empat pasukan dibimbing jurulatih Argentina: Jorge Sampaoli bersama Chile, Ricardo Gareca bersama Peru, Ramon Diaz bersama Paraguay dan Gerardo Martino bersama Argentina.

Bintang Argentina, Lionel Messi terdesak untuk meraih sesuatu seperti dilakukannya bersama kelab Barcelona. Juara dunia dua kali Argentina tidak memenangi kejuaraan utama dalam tempoh 22 tahun dan Messi dijangka mengubah semua itu.

Reaksi pemain Brazil selepas tewas kepada Paraguay dalam suku akhir 27 Jun lalu. – Reuters
Reaksi pemain Brazil selepas tewas kepada Paraguay dalam suku akhir 27 Jun lalu. – Reuters

Messi dan Argentina disingkirkan pada suku akhir kejohanan itu empat tahun lalu di laman sendiri serta tewas 0-1 kepada Jerman pada final Piala Dunia setahun lalu.

Messi pastinya penat. Barcelona menang Liga Juara-Juara mengatasi Juventus di Berlin. Dia kemudian menempuh penerbangan separuh dunia dengan Copa America bermula lima hari kemudian.

Messi hanya menyumbat satu gol pada kejohanan itu dan Argentina hanya menjaringkan empat gol dalam empat perlawanan. Mereka mengalahkan Colombia 5-4 menerusi penentuan penalti selepas seri tanpa jaringan pada suku akhir hujung minggu lalu.

“Entahlah kenapa terlalu sukar bagi saya untuk menjaringkan gol buat pasukan kebangsaan,” kata Messi, yang menyumbat 46 gol bersama Argentina, kedua di belakang pendahulu Gabriel Batistuta dengan 56 gol.