Coquelin tonik Piala FA Gunners

Coquelin tonik Piala FA Gunners

LONDON, 29 Jan – Kepulangan Francis Coquelin ke dalam skuad Arsenal untuk pertembungan pusingan keempat Piala FA menentang Burnley menjadi tonik terbaik buat skuad bimbingan Arsene Wenger berikutan kekalahan liga Ahad lalu kepada Chelsea.

Burnley berkunjung ke Emirates enam hari selepas gol kemenangan Diego Costa menafikan hasrat Arsenal untuk kembali ke persada Liga Perdana Inggeris.

Keputusan aksi malam esok itu penting dalam menentukan bagaimana kekuatan karakter penyandang Piala FA itu untuk bangkit daripada kekalahan.

Dan kepulangan Coquelin dua bulan selepas cedera ligamen lutut di West Bromwich Albion akan membantu Arsenal pulih daripada satu lagi episod malang.

Skuad Wenger mengharungi tempoh yang sukar kebelakangan ini, hanya mencatat dua kemenangan dalam enam perlawanan terakhir liga.

Francis Coquelin pasti menjadi tonik skuad Arsenal untuk pertembungan pusingan keempat Piala FA menentang Burnley. – Reuters
Francis Coquelin pasti menjadi tonik skuad Arsenal untuk pertembungan pusingan keempat Piala FA menentang Burnley. – Reuters

Dengan mahkota Liga Perdana jelas sekali menjadi keutamaan mereka pada musim ini, meneruskan kemaraan dalam mempertahankan Piala FA akan memberi lonjakan keyakinan kepada mereka.

Coquelin dijangka akan memulakan aksi di bangku simpanan dan mungkin disertai Tomas Rosicky yang membuat penampilan selama 45 minit untuk pasukan Bawah-21 Arsenal minggu lalu.

Dengan Alexis Sanchez yang berehat panjang sebelum ini ekoran masalah hamstring sudah kembali beraksi sebagai pemain gantian ketika bertemu Chelsea dan penyerang Danny Welbeck sudah menjalani latihan penuh, senarai kecederaan Arsenal semakin menunjukkan perkembangan positif.

Tonggak pertahanan, Per Mertesacker yang digantung selepas dilayangkan kad merah di Chelsea, percaya dengan cara pasukannya menyesuaikan diri sepanjang masalah kecederaan menghantui mereka membayangkan peningkatan kekuatan skuad Wenger setakat ini.

Dia memberitahu Arsenal.com: “Pemain sudah membuktikan kesediaan mengisi ketiadaan pemain tonggak, membawa masuk tenaga mereka dan kami mendapat keputusan yang bagus.

“Kami tidak pernah melihat masalah kecederaan sebagai perkara negatif kerana pemain lain mampu mengisi kekosongan, terutama pada musim ini.

“Pasukan ini lebih kuat dan juga mempunyai kekuatan mental yang lebih kuat berbanding sebelum ini. Hanya tinggal beberapa langkah saja lagi untuk dihabiskan, saingan setiap musim memang panjang dan untuk mendapatkan konsistensi bukannya mudah.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA