Corak kepimpinan belia

Corak kepimpinan belia

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Dis – Penubuhan Belia Da’ie mampu membantu menyemarakkan lagi gerakan dakwah dalam masyarakat khususnya dalam kalangan para belia, di samping ia juga dapat menyumbang kepada pembinaan jati diri yang unggul dan cemerlang di dunia mahupun di akhirat.

Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Harun bin Haji Junid berkata demikian semasa merasmikan Program Belia Da’ie yang berlangsung di Bangunan Darul Huda, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kampung Pulaie, hari ini.

Seramai 46 orang da’ie menyertai program berkenaan semenjak ia diperkenalkan pada tahun 2012 melalui Unit Belia, Bahagian Penyebaran Dakwah PDI dalam Bengkel Da’ie. Kebanyakan mereka merupakan sukarelawan yang telah mengikuti program yang dikendalikan oleh Unit Belia sejak tahun 2012 hingga 2015.

Belia Da’ie akan bernaung sepenuhnya di bawah PDI dan segala aktiviti akan dijalankan sendiri oleh Belia Da’ie dan akan dipohonkan ke jabatan terlebih dahulu.

Tetamu Kehormat ketika menghadiri majlis tersebut.
Tetamu Kehormat ketika menghadiri majlis tersebut.
Antara peserta yang mengikuti Program Belia Da’ie.
Antara peserta yang mengikuti Program Belia Da’ie.

Antara lain objektif program adalah untuk menyemai semangat kerjasama dan perpaduan pada perkara-perkara yang berkebajikan, di samping mengukuhkan sikap kepimpinan, inovatif, pro-aktif dan kreatif dalam kalangan belia.

Majlis juga diteruskan dengan Penutup Perkhemahan Belia Syumul 2015 dengan penyampaian sijil kepada para peserta yang telah disempurnakan oleh Haji Harun.

Perkhemahan yang diadakan selama dua hari semalam itu disertai oleh seramai 16 orang peserta yang berumur 15 hingga 25 tahun terdiri daripada pelajar-pelajar pusat tingkatan enam dan beberapa orang mad’u.

PDI menyatakan harapan dengan adanya kedua-dua program ini akan dapat mencapai objektifnya dan peranan unit belia untuk melahirkan belia yang beriman, berakhlak, berilmu, berupaya, berkualiti, kreatif serta mampu mewujudkan saluran bagi dakwah daripada belia untuk belia.

ARTIKEL YANG SAMA