Corak permainan bekerjasama raih kejayaan

Corak permainan bekerjasama raih kejayaan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mac – Kejayaan ke atas Pasukan B.O.B dengan jaringan 2-1 adalah suatu yang menggembirakan meskipun pasukannya (Rimba Star) mula menyerang pada separuh masa kedua berikutan dengan faktor usia dan tempo permainan.

Perkara itu ditegaskan oleh Pengurus Rimba Star, Awang Yassin bin Haji Mohd Noor yang mengakui pasukannya pada perlawanan di Padang Sekolah Menengah Awang Semaun di dalam Kejohanan Bola Sepak Veteran Kebangsaan DST 2016 – Piala Presiden baru-baru ini mengambil masa untuk mendapatkan tempo dan sedikit lambat panas sehingga menyebabkan bolos pada babak pertama.

Ketika ditanya mengenai faktor tempo yang lambat untuk mendapat rentaknya itu, Awang Yassin menegaskan jenis padang mungkin sahaja membawa pengaruh kepada permainan kerana set minda pada mulanya bermain di atas padang rumput dan ia serba sedikit menjejaskan corak dan tempo perlawanan.

“Pada saya lokasi bukan sebagai cabaran besar atau halangan untuk mendapatkan tiga mata penuh kerana pada saya permainan bola sepak adalah sama walaupun di mana kita dijadualkan, namun akan dipengaruhi pada jenis rumput yang digunakan,” ujarnya lagi.

Mengulas mengenai kemenangan Rimba Star lagi, beliau memberitahu Media Permata bahawa kemenangan baru-baru ini sangat menggembirakan dan merancang untuk membuat yang terbaik dan mempamerkan persembahan yang lebih menarik pada perlawanan seterusnya nanti.

Awang Yassin ketika ditemubual.
Awang Yassin ketika ditemubual.

Sementara itu David Kang, penaja dan pengurus bersama B.O.B menegaskan B.O.B mempunyai skuad yang mantap pada separuh masa pertama, namun ekoran peraturan untuk memainkan semua pemain membuatkan perubahan dan percaturan bagi perlawanan berhadapan Rimba Star yang akhirnya akur dengan kekalahan.

“Kami juga berhadapan dengan kecederaan dan saya sendiri sedar akan kesilapan yang dibuat oleh pemain pertahanan yang membolehkan Rimba Star mengambil kesempatan untuk menambah jaringan,” ujarnya lagi.

B.O.B akan melihat persaingan seterusnya untuk menetapkan corak perlawanan sama ada akan lebih agresif menyerang atau di sebaliknya untuk lebih banyak bertahan dan ia akan ditentukan dalam masa terdekat ini.

“Saya sangat gembira dengan persembahan semua pemain terutama pemain baru dan kejohanan kali ini adalah yang pertama kali sebagai sebuah pasukan dan akan mengadakan lebih banyak perlawanan di luar negara,” ujarnya lagi.Menurutnya, “cabaran besar kami adalah diri sendiri kerana kami perlu memperkukuhkan semua posisi dan semua perlu bekerjasama dan jika kita berjaya untuk meraih kejuaraan pasti imbalan besar bagi semua pemain,” tegasnya.

Sementara itu di Padang Kompleks Sukan Sungai Asam di Mukim Sungai Kebun pula menyaksikan kemenangan berpihak kepada Pasukan KB Warriors yang berjaya menewaskan Pasukan Miisa United dengan jaringan 2-1.

Sejurus selepas perlawanan, pengurus dan pemain Pasukan Miisa United, Awang Syahri bin Haji Hasyim ketika ditemui menyatakan rasa kecewa dengan kekalahan itu kerana beliau sendiri terlepas peluang untuk menjaringkan gol meskipun hanya berhadapan dengan penjaga gol di titik penalti.

“Namun begitu kami akan terus berusaha memperbaiki keadaan kerana pada saya permainan baru-baru ini seimbang dan ini membuktikan kebolehan Miisa United dalam kejohanan kali ini,” ujarnya kepada Media Permata.Menurutnya, Miisa berbaki tiga perlawanan dalam kejohanan kali ini dan menegaskan tiada masalah yang dihadapi dalam perlawanan dan padanya ia adalah adat permainan dan ia juga bergantung pada prestasi pemain sendiri.

“Sistem Rotation yang dikenakan kepada semua pasukan dalam kejohanan ini adalah yang terbaik kerana ia memberikan peluang kepada semua pemain untuk tampil dan berjuang mendapatkan kemenangan secara berpasukan,” ujarnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA