Corbyn jemput Trump lawat masjid

Corbyn jemput Trump lawat masjid

LONDON, 18 Jan – Pemimpin pembangkang Britain, Jeremy Corbyn, ingin menjemput calon presiden Republikan, Donald Trump untuk mengunjungi masjid di London berikutan kecaman hartawan Amerika Syarikat itu terhadap umat Islam.

Pemimpin Parti Buruh itu membuat kenyataan berkenaan sehari sebelum Parlimen Britain berbahas sama ada Trump perlu dihalang memasuki United Kingdom.

“Saya memutuskan untuk menjemput Donald Trump ke Britain untuk melawat masjid di kawasan Parlimen saya kerana beliau ada masalah dengan penduduk Mexico dan umat Islam. “ Corbyn memberitahu dalam program bersama Andrew Marr terbitan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

“Seperti yang diketahui, isteri saya berketurunan Mexico dan kawasan Parlimen saya dihuni penduduk pelbagai budaya. Jadi, apa yang saya hendak lakukan adalah pergi ke masjid dengan beliau dan biarkan beliau bercakap dengan penduduk di situ,” kata Corbyn. Trump berkata, beliau akan membatalkan perjanjian pelaburan bernilai 700 juta pounds dalam padang golf di Scotland jika dilarang memasuki Britain. – Reuters