‘Cosplay’ jadi tarikan di Ekspo Keusahawanan

‘Cosplay’ jadi tarikan di Ekspo Keusahawanan

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei – Bagi menarik perhatian para pelanggan untuk datang ke Ekspo Keusahawanan Tempatan Fasa 1 di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, beberapa aktiviti telah diadakan hari ini seperti pertunjukkan Cosplay, Pertandingan Gunpla dan juga pertandingan melukis animasi.

Pengerusi Syarikat Sangat Kaya Sama Untung (SKSU), Awang Muhd Za’imuddin bin Awang Mohd Zinin ketika ditemui Media Permata menjelaskan Ekspo Keusahawanan Tempatan Fasa 1 ini adalah bagi membantu perniagaan dalam talian di mana strategi pemasaran merupakan tumpuan utama mereka.

“Setakat ini, sambutan bagi ekspo sangat menggalakkan oleh kerana orang ramai yang datang selepas majlis perkahwinan di sini. Sebenarnya, ini bukan sahaja untuk para pengusaha menjual produk-produk mereka, tetapi juga untuk orang ramai mengenali mereka,” jelas beliau lagi.

Aktiviti-aktiviti yang telah diadakan di ekspo berkenaan juga memainkan peranan penting dalam menarik perhatian pengunjung, menurut Awang Muhd Za’imuddin. Menyentuh mengenai Bruneian Cosplay Hobbies & Collection (BCHC), beliau menjelaskan, tujuan BCHC adalah untuk mengatur generasi-generasi muda yang meminati ‘cosplay’ ini daripada tidak terurus kerana kebanyakan orang ramai memandang negatif terhadap mereka.

Pelbagai kostum telah diperagakan bagi menarik perhatian pengunjung.
Pelbagai kostum telah diperagakan bagi menarik perhatian pengunjung.
Pertandingan ‘Gunpla’ merupakan salah satu aktiviti yang diadakan pada ekspo di ICC tersebut.
Pertandingan ‘Gunpla’ merupakan salah satu aktiviti yang diadakan pada ekspo di ICC tersebut.

“Sebenarnya mereka hanya mencuba untuk menjadi diri mereka sendiri di mana mereka menunjukkan kreativiti mereka membuat pakaian mereka dengan barang-barang yang terpakai ataupun barang yang mudah didapati.

“Dengan adanya mereka ini, sebelum ekspo ini berlangsung, sejak hari pertama lagi mereka telah menolong para pengusaha mengangkat dan menyusun barang mereka.”

Menurut Awang Muhd Za’imuddin juga, para belia berpakaian cosplay berkenaan bukanlah semata-mata untuk orang ramai bergambar bersama mereka akan tetapi untuk mendedahkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada orang ramai.

“Mereka pergi kepada orang jemputan majlis perkahwinan yang berlangsung ICC selepas selesai majlis tersebut, dan menarik mereka untuk berkunjung ke ekspo berkenaan.”

Para belia ini juga, tambah beliau, telah mengongsikan mengenai ekspo yang berlangsung di ICC dan aktiviti-aktiviti seperti persembahan Cosplay, pertandingan Gunpla, dan juga pertandingan melukis animasi tersebut, di mana hasilnya sambutan daripada orang ramai semakin menggalakkan sepanjang tiga hari ekspo tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA