Costa dakwa mangsa pengadil, pemain lawan

Costa dakwa mangsa pengadil, pemain lawan

LONDON, 17 Ogos – Diego Costa percaya betapa dia menjadi sasaran pegawai perlawanan dan pemain lawan dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Penyerang Chelsea yang menjaringkan gol kemenangan ketika menewaskan West Ham 2-1, Isnin lalu terkenal dengan reputasi permainan agresif.

Dia dilayangkan kad kuning oleh Anthony Taylor kerana mempertikai keputusan pengadil berkenaan hanya selepas 19 minit perlawanan berlangsung di Stamford Bridge.

Costa sedar, di bawah peraturan baharu liga, pengadil mempunyai kuasa untuk melayangkan kad kepada pemain jika bercakap secara agresif atau mempertikaikan mengenai keputusan mereka.

Bahkan, dia hampir dibuang padang pada babak kedua ketika menentang West Ham apabila mengasari penjaga gol, Adrian tetapi Taylor memilih untuk tidak melayangkan kad kuning kedua.

Diego Costa (kanan) meraikan jaringan ketika menentang West Ham di Stamford Bridge, 15 Ogos lalu. – AP
Diego Costa (kanan) meraikan jaringan ketika menentang West Ham di Stamford Bridge, 15 Ogos lalu. – AP

“Saya tidak boleh berkata apa-apa, penyokong di sini (Stamford Bridge) sentiasa menyayangi saya. Ia satu sokongan yang saya sentiasa hargai.

“Saya sedar (undang-undang mempertikai keputusan yang baharu) sekarang. Kali kedua saya pergi untuk bercakap dengan dia (pengadil), dia menunjukkan (kad kuning) kepada saya.

“Saya juga merasakan ia agak pelik, tapi selepas itu saya faham. Saya pergi untuk meminta maaf pada waktu rehat dan itu saja,” kata Costa.

“Tapi saya bersikap jujur, saya sedang menjadi sasaran di sini, oleh pengadil, orang ramai… jika saya melakukan sesuatu, ia benar-benar berbeza dengan pemain lain. Ia perlu dilihat, ramai orang mensasarkan saya.” – Agensi