Costa digantung tiga perlawanan

Costa digantung tiga perlawanan

LONDON, 23 Sept (AFP) – Penyerang Chelsea, Diego Costa hari ini dikenakan penggantungan tiga perlawanan selepas menampar muka pemain pertahanan tengah Arsenal, Laurent Koscielny.

Costa didapati bersalah menggunakan kekerasan dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu yang menyaksikan Chelsea menang 2-0.

Pemain berusia 26 tahun yang juga bekas penyerang Atletico Madrid, menafikan kepada Persatuan Bila Sepak Inggeris (FA Inggeris) terhadap tuduhan berkenaan yang gagal dikesan oleh pengadil perlawanan, Mike Dean.

“Tuduhan oleh FA terhadap Diego Costa kerana aksi ganas itu tidak dilihat oleh pegawai perlawanan tetapi dirakam di dalam video oleh Suruhanjaya Bebas Mengenai Peraturan FA,” kata FA Inggeris dalam satu kenyataan.

“Sehubungan itu, penyerang Chelsea itu perlu menjalani hukuman penggantungan tiga perlawanan dengan berkuatkuasa serta-merta,” kata kenyataan itu.

Insiden pertengkaran di antara Costa dan Paulista ketika perlawanan Liga Perdana di Stamford Bridge pada 19 September 2015. – Reuters
Insiden pertengkaran di antara Costa dan Paulista ketika perlawanan Liga Perdana di Stamford Bridge pada 19 September 2015. – Reuters

Chelsea dalam kenyataannya berkata: “Kami amat kecewa dengan keputusan FA menggantung Diego Costa. Kami akan mengemukakan sebabnya menerusi satu kenyataan bertulis.”

Di sebalik dakwaan berkenaan, pengadil Mike Dean kekal tidak terusik walaupun prestasinya di Stamford Bridge dipertikaikan, malah dia akan ditugaskan mengelolakan perlawanan Liga Perdana West Ham United dan Norwich hujung minggu ini.

Dean mengeluarkan kad kuning terhadap Costa kerana menolak Koscielny namun jika dilihat semula insiden itu , pemain Chelsea berkenaan sepatutnya diberikan kad merah.

Costa diberi tempoh sehingga jam 6 petang Selasa (waktu tempatan) untuk memberikan penjelasan kepada panel tiga pengadil bebas yang menilai insiden itu melalui rakaman video.