Costa, Gabriel nanti hukuman FA

Costa, Gabriel nanti hukuman FA

LONDON, 22 Sept (AFP) – Penyerang Chelsea, Diego Costa dan pertahanan Arsenal, Gabriel didakwa atas kesalahan kelakuan ganas dan tidak wajar ketika pertembungan membabitkan kedua-dua kelab itu Sabtu lalu, demikian diumumkan Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA), semalam.

Costa didakwa kerana didapati menghayunkan lengannya kepada pertahanan Arsenal, Laurent Koscielny selain menutup muka pemain itu ketika pertembungan yang menyaksikan Chelsea mencatat kemenangan 2-0 itu.

Gabriel pula didakwa atas reaksinya selepas diarahkan keluar padang oleh pengadil kerana didapati menendang Costa.

Pemain tengah Gunners, Santi Cazorla juga diberikan amaran atas kelakuannya selepas diarahkan keluar padang pada babak kedua dengan kedua-dua kelab turut didakwa kerana gagal mengawal pemain masing-masing.

“Diego Costa didakwa atas tuduhan kelakuan ganas yang tidak dapat dilihat oleh pengadil perlawanan, tetapi dapat dirakam oleh video,” kata FA dalam satu kenyataan di laman webnya.

Gambar fail 19 September 2015 menunjukkan Gabriel (kiri) dan Costa yang bertegang leher dileraikan oleh Petr Cech (tengah) dalam aksi liga di Stamford Bridge. – AFP
Gambar fail 19 September 2015 menunjukkan Gabriel (kiri) dan Costa yang bertegang leher dileraikan oleh Petr Cech (tengah) dalam aksi liga di Stamford Bridge. – AFP

“Penyerang Chelsea itu terbabit dengan insiden bersama pemain Arsenal, Laurent Koscielny pada minit ke-43 permainan.

“Pertahanan Arsenal, Gabriel didakwa kerana menunjukkan kelakuan tidak sepatutnya atas sikapnya selepas diarahkan keluar padang, manakala rakan sepasukan, Santi Cazorla diberikan amaran atas kelakuannya selepas dikeluarkan.

“Akhirnya, kedua-dua kelab turut dituduh kerana gagal untuk mengawal pemain mereka di bawah Undang-Undang FA E20,” katanya.

Costa berdepan risiko penggantungan tiga perlawanan andai didapati bersalah dan mempunyai masa sehingga Rabu ini untuk membalas tuduhan itu.

Gabriel dan kedua-dua kelab begitupun mempunyai masa sehingga awal pagi Khamis. Arsenal sebelum ini sudah pun membuat tuntutan membabitkan hukuman kad merah yang dikenakan terhadap Gabriel.

Pada perlawanan itu, Costa didapati dua kali melakukan kekasaran terhadap Koscielny sebelum bertegang leher dengan Gabriel yang menyaksikan kedua-duanya dikenakan kad kuning.

Begitupun, ia tidak berhenti di situ dengan kedua-duanya masih belum berpuas hati sebelum Gabriel didapati menendang Costa memaksa Mike Dean mengarahkannya keluar padang.

FA mengesahkan kekasaran Costa terhadap Koscielny tidak dapat dilihat oleh Dean dan ketiga-tiga panel pengadil elit yang ditugaskan meneliti kes itu bersetuju ia adalah kesalahan kad merah.

ARTIKEL YANG SAMA