Costa masih mesin serangan terbaik

Costa masih mesin serangan terbaik

MADRID, 11 Nov (Reuters) – Pengurus Sepanyol, Vicente del Bosque berkata penyerangnya, Diego Costa memainkan peranan yang penting bagi juara Eropah itu sekalipun mengharungi kempen perlahan di peringkat antarabangsa dan kelab ketika ini.

Selepas memilih La Roja sebagai negara pilihan berbanding mewakili negara kelahirannya, Brazil, tahun lalu, Costa dianggap mampu mengekalkan reputasinya sebagai antara terbaik dunia seperti ketika di Atletico Madrid dan musim pertamanya di Chelsea.

Begitupun, pemain berusia 27 tahun itu bergelut di pentas antarabangsa apabila hanya meledak sembilan gol buat Sepanyol, manakala bersama Chelsea lebih buruk dengan tiga gol daripada 15 penampilan musim ini.

Bersama Sepanyol, Costa seakan hilang arah di bahagian serangan bagi pasukan yang memiliki rentetan pemain tengah berbakat dunia yang cuba memecahkan pertahanan lawan menerusi hantaran menarik.

Ketika ditemuramah akhbar Britain, The Guardian semalam, Del Bosque berkata dia berpuas hati dengan sumbangan Costa yang mampu mengucar-kacirkan pertahanan lawan dan menjadikannya sebagai anggota penting La Roja.

Diego Costa masih memainkan peranan penting bagi Sepanyol walaupun hanyut bersama prestasi hambar Chelsea. – Reuters
Diego Costa masih memainkan peranan penting bagi Sepanyol walaupun hanyut bersama prestasi hambar Chelsea. – Reuters

Dia turut menolak kerja keras yang ditampilkan Costa tidak sesuai dengan corak permainan Sepanyol dan memberi bayangan penyerang Chelsea itu antara pemain yang akan disenaraikan bagi kempen di Perancis selain penyerang Juventus, Alvaro Morata dan pemain Valencia, Paco Alcacer.

“Pemain tengah kami begitu baik dengan bola, dengan pemain yang mempunyai sentuhan yang baik, kami memerlukan penyerang yang mampu mencipta ruang, boleh bergerak, mengalahkan pertahanan, mengatasi mereka, dan Diego melakukannya,” kata Del Bosque.

“Bagaimana Costa boleh menjejaskan kami? Kami tidak mempunyai banyak tuah bersamanya namun ia langsung tidak berkaitan dengan gaya kami.

“Kini kami memilih antaranya dia, Morata dan Paco, dan secara prinsipnya, inilah tiga penyerang bagi kami pada masa depan,” katanya.

Costa mempunyai peluang untuk membuktikan kemampuannya ketika pertemuan Sepanyol menentang England bagi aksi persahabatan di Alicente, Jumaat ini, sebelum membuat kunjungan ke Belgium, empat hari kemudian.