Costa Rica belasah AS 4-0

Costa Rica belasah AS 4-0

SAN JOSE, 16 Nov – Joel Campbell menjaringkan dua gol apabila Costa Rica membelasah Amerika Syarikat (AS) 4-0, di sini, awal pagi tadi untuk memberikan tekanan menggunung kepada jurulatih AS Jurgen Klinsmann.

Campbell, yang ketika ini dalam tempoh pinjaman ke kelab Sporting Lisbon dari Arsenal, menjaringkan dua gol dalam tiga minit pada separuh masa kedua apabila pasukan suku akhir Piala Dunia 2014 itu memberikan amukan terhadap skuad Klinsmann.

Skuad AS tiba di Costa Rica dalam cubaan terdesak untuk meraih tiga mata selepas mengalami kekalahan tipis 2-1 ke atas Mexico Jumaat lepas dalam perlawanan pembukaan mereka bagi kelayakan rantau CONCACAF.

Namun nasib masih belum menyebelahi skuad Amerika apabila Costa Rica membuka jaringan sebelum wisel separuh masa dibunyikan.

Johan Venegas ketika menjaringkan gol pertama buat Costa Rica. – AFP

Pertahanan rapuh daripada Omar Gonzalez membenarkan Christian Bolanos untuk membuat gerakan ke depan dan memberikan hantaran lintang buat Johan Venegas yang tidak dikawal oleh John Brooks untuk menanduk bola masuk ke gawang melepasi Brad Guzan.

Bolanos menjadikannya 2-0 pada minit ke-69, melakukan tandukan jarak dekat selepas menerima hantaran lintang cantik daripada Bryan Ruiz.

Gol kedua Costa Rica itu sebagai petanda keruntuhan pertahanan AS dan sekali lagi Brooks menjadi punca.

Pemain tengah Hertha Berlin itu membuat kesilapan besar dalam usaha untuk menyelamatkan hantaran jauh ke depan daripada pihak Costa Rica dan Campbell tidak mensia-siakan peluang untuk merampas bola daripada Brooks yang kemudian membawa bola ke depan dan dengan mudah memasukkan bola ke gawang melepasi Guzan. – AFP