Costa Rica dilanda gempa bumi

SAN JOSE, Costa Rica, 13 Nov – Gempa bumi kuat dengan magnitud awal 6.5 menggegarkan Costa Rica malam semalam, yang menggugurkan barangan dari para-para dan mengakibatkan orang ramai berlari keluar dalam keadaan panik.

Kementerian Keselamatan Awam negara itu berkata ia menerima laporan tentang dua kecederaan serius akibat gempa bumi itu, tetapi tidak memberikan butiran tambahan.

Bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan apabila talian kuasa dan tiang eletrik tumbang, namun tidak ada laporan kerosakan besar infrastruktur akibat gegaran itu, yang melanda kawasan penduduk kurang padat di sepanjang Pantai Pasifik. Kerajaan melaporkan beberapa kejadian lungsuran batu yang menghalang lebuh raya berhampiran pusat gempa.

Menurut Jabatan Geologi AS, gempa bumi berpusat kira-kira 15 kilometer tenggara bandar Jaco, yang kira-kira 100 kilometer barat daya ibu negara, San Jose. Gempa bumi pada kedalaman kira-kira 20 kilometer.

Suruhanjaya Kecemasan Kebangsaan mengatakan tidak ada ancaman tsunami.

Magdalena Lopez yang tinggal di Jaco, mengatakan gegaran bermula perlahan-lahan tetapi cepat bertambah kuat.

“Apabila kami cuba keluar dari rumah ia mula bergoncang lagi dengan sangat kuat,” ujarnya. “Kesemua jiran kami berada di jalan raya. Di hadapan rumah saya dapat dilihat beberapa orang mula naik ke atas, tetapi dengan cepat ia mula bergoncang lagi.”

Empat minit selepas gempa bumi awal, kejutan lanjut dengan magnitud 5.2 melanda.

Presiden Luis Guillermo Solis berkata melalui Twitter bahawa kerajaan masih mengumpul maklumat. Beliau menggesa orang ramai supaya terus tenang dan bersiap sedia bagi kejutan lanjur.

Matt Hogan berada di rumah di Punta Uvita, pemanduan kira-kira 90 minit dari pusat gempa apabila gempa bumi melanda kira-kira pukul 8:30 malam. Menurutnya goncangan mengakibatkan gelombang dua kaki di kolam renangnya dan menggugurkan gelas-gelas dan kontena di dapur. – AP