Costa Rica ingin jalin kerjasama

Costa Rica ingin jalin kerjasama

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) – Costa Rica berharap dapat meningkatkan hubungan kerjasama strategik dengan Malaysia bagi merangsang lebih banyak kerjasama di sektor perdagangan dan pelancongan, kata Menteri Luar Manuel Antonio Gonzalez Sanz.

Kerjasama strategik itu memberikan lebih banyak peluang kepada Malaysia dan negara lain di Amerika Tengah serta di rantau Caribbean untuk bekerjasama dalam sektor berkenaan, katanya kepada Bernama ketika ditemu ramah selepas menamatkan lawatan kerja empat hari pada Selasa.

Bagaimanapun, menurut Sanz antara kekangan kerjasama itu ialah ketiadaan wakil diplomatik di setiap negara terbabit.

“Costa Rica kini dalam proses mempertimbangkan untuk mewujudkan wakil diplomatik di seluruh dunia dan pastinya Malaysia menjadi satu daripada destinasi terbaik.

“Saya juga berharap Kedutaan Costa Rica dapat diwujudkan di sini pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata proses melantik serentak duta dan konsul kehormat ke Malaysia kini dalam perancangan sebagai langkah mempromosi kepentingan Costa Rica di negara ini.

Sanz turut berharap lebih banyak kerjasama dalam sektor pendidikan memandangkan negaranya memperuntukkan lapan peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk sektor berkenaan.

Menurutnya kedua-dua negara juga boleh mengadakan program pertukaran pelajar dan profesor termasuk kajian dalam bidang biodiversiti dan alam sekitar memandangkan kedua-dua negara berkongsi minat sama.

Selain itu katanya, kedua-dua pihak juga boleh menjalinkan kerjasama menerusi perkongsian pengalaman dalam bidang tenaga diperbaharui.

Beliau berkata pada tahun lepas, 99 peratus bekalan kuasa elektrik dijana melalui sumber tenaga diperbaharui.

“Kami juga telah mencadangkan kepada Kementerian Luar untuk mengadakan rundingan politik antara kedua-dua negara dan merangka perjanjian kerjasama yang dapat memberikan status undang-undang kepada kedua-dua pihak menjalinkan kerjasama,” tambahnya.

Mengenai lawatannya ke Malaysia, Sanz kagum dengan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) serta konsep yang diguna pakai, banyak yang boleh dipelajari menerusi konsep berkenaan.