Costa Rica, Paraguay terikat tanpa jaringan

Costa Rica, Paraguay terikat tanpa jaringan

ORLANDO, 5 Jun – Juara dua kali Amerika Selatan, Paraguay sekadar seri tanpa jaringan dengan Costa Rica dalam aksi sulung Kumpulan A Copa America yang berlangsung dalam keadaan cuaca panas di Citrus Bowl, sebentar tadi.

Costa Rica menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas tonggak pertahanan, Kendall Waston dilayangkan kad merah pada masa kecederaan kerana melakukan terjahan keras ke atas Nelson Valdez.

Keputusan itu menyaksikan Colombia yang menewaskan Amerika Syarikat (AS) dalam aksi sulung semalam berada di tangga teratas Kumpulan A dengan tiga mata.

Waston akan digantung perlawanan ketika menentang AS di Chicago, Rabu ini.

Dalam keadaan cuaca panas, kedua-dua pasukan dilihat tampil dengan corak permainan berhati-hati tetapi Paraguay lebih mengawal perlawanan di hadapan 14, 334 penonton.

Pemain Costa Rica, Marco Urena mengejar bola pada perlawanan tersebut. – AFP
Pemain Costa Rica, Marco Urena mengejar bola pada perlawanan tersebut. – AFP

pg22_160606_a

Penyerang, Jorge Benitez yang beraksi bersama kelab Mexico, Cruz Azul menunjukkan kemahiran individu tinggi apabila mencipta peluang di dalam kotak penalti pada minit kesembilan dan hantaran lintang rendah yang dilakukannya hampir membuatkan pertahanan Costa Rica, Celso Borges menampan masuk ke gawang sendiri.

Paraguay sekali lagi melancarkan serangan apabila Paulo Da Silva menanduk bola hasil sepakan penjuru Oscar Romero tetapi tandukannya tersasar.

Romero yang bermain di posisi sayap menghiburkan penonton yang hadir dengan kemahiran individu, selain lorongan menarik tetapi Paraguay tetap gagal menyempurnakan semua peluang yang dicipta.

Costa Rica yang mara ke suku akhir Piala Dunia dua tahun lalu bermain secara terus dengan mencari penyerang, Joel Campbell dan Bryan Ruiz bagi menghasilkan gol tetapi gagal memecahkan kebuntuan. – AFP