Courtois wira Chelsea

Courtois wira Chelsea

CHARLOTTE, Carolina Utara, 27 Julai (AFP) – Penjaga gol Chelsea, Thibaut Courtois muncul hero The Blues apabila menyelamatkan dua sepakan penalti untuk membantu pasukannya menang 6-5 menerusi penalti penentuan ke atas Paris Saint Germain (PSG) dalam perlawanan persahabatan Piala Kejohanan Antarabangsa semalam.

Selepas bertarung 90 minit, kedua-dua pasukan gagal mendapatkan gol kemenangan untuk terikat 1-1 hasil jaringan penyerang Sweeden, Zlatan Ibarahimovic dan pemain tengah Chelsea, Victor Moses untuk memaksa pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti.

Courtois menceriakan juara Liga Perdana Inggeris musim lalu itu apabila menafikan percubaan Jean-Christophe Bahebeck serta Thiago Silva untuk mengecewakan juara Perancis itu.

Kemenangan itu memberi semangat moral kepada Chelsea selepas mereka tewas mengejut 4-2 kepada kelab Liga Bola Sepak Utama (MLS), New York Red Bulls dalam perlawanan pertama mereka dalam siri jelajah pramusim di Amerika Utara.

Perlawanan di antara dua kelab tersebut mengulangi pertemuan mereka dalam Liga Juara-juara di peringkat suku akhir dua musim lalu sekali gus menghiburkan 61,224 penonton di Stadium Bank of America.

Thibaut (kanan) memeluk rakan sejawatnya dari PSG, Salvatore Sirigu selepas penentuan sepakan penalti untuk Piala Juara-Juara Antarabangsa selesai, semalam. – AFP
Thibaut (kanan) memeluk rakan sejawatnya dari PSG, Salvatore Sirigu selepas penentuan sepakan penalti untuk Piala Juara-Juara Antarabangsa selesai, semalam. – AFP

Dalam perlawanan itu, PSG berada di hadapan pada minit ke-25 permainan. Pemain tengah Matuidi membawa bola hingga ke kawasan kotak penalti The Blues sebelum melakukan hantaran kepada Jean-Kevin Augustin.

Ibrahimovic pantas menyambar bola muntah hasil rembatan kencang Augustin untuk menewaskan penjaga gol Chelsea, Asmir Begovic.

Marco Verratti memperoleh peluang untuk menggandakan jaringan pada minit ke-36 namun bola sepakan lambungnya terlalu tinggi untuk menewaskan Begovic.

Sebaik babak kedua bermula Thibaut menggantikan Begovic untuk mengukuhkan lagi gawang The Blues.

ARTIKEL YANG SAMA