Coutinho yakin akhiri penantian

Coutinho yakin akhiri penantian

LONDON, 23 Dis (Reuters) – Pemain tengah Brazil Philippe Coutinho berkata dia mempunyai peluang besar untuk menyambut tahun ketiganya di Liverpool pada 2016 dengan menjulang trofi pertamanya bersama kelab.

Juara Eropah lima kali yang jatuh ke tangga kesembilan dalam Liga Perdana tetapi mara ke separuh akhir Piala Liga, akan berdepan Stoke City pada Januari dan menghadapi kelab Jerman Augsburg pada pusingan 32 terakhir Liga Europa.

Liverpool juga bakal berdepan pasukan peringkat keempat Exeter City pada pusingan ketiga Piala FA bulan depan dan tuan rumah kepada pemimpin kejutan Leicester City dalam Liga Perdana Inggeris, Sabtu ini.

“Kami semua fokus kepada perjuangan untuk trofi dan saya rasa kami mempunyai peluang besar dalam pertandingan yang kami sertai,” Coutinho memberitahu laman web kelab (www.liverpoolfc.com).

“Tiga tahun yang hebat. Dari mula lagi saya diberikan sambutan hangat oleh peminat, pasukan, semua orang yang bekerja di sini.

Coutinho percaya Liverpool berupaya mengakhir penantian untuk bergelar juara dalam sedikit masa lagi. – Reuters
Coutinho percaya Liverpool berupaya mengakhir penantian untuk bergelar juara dalam sedikit masa lagi. – Reuters

“Saya amat berterima kasih kepada kelab dan sekarang berharap dapat membantu pasukan memenangi trofi. Adalah amat penting untuk terus berjuang,” kata pemain berusia 23 tahun itu.

Coutinho menyertai Liverpool – yang kemarau trofi utama sejak menjulang Piala Liga pada 2012 – dari Inter Milan pada Januari 2013 dengan bayaran sebanyak 8.5 juta pound (AS$12.65 juta).

Dia telah menjaringkan empat gol dalam sembilan perlawanan sejak Juergen Klopp mengambil alih sebagai pengurus pada bulan Oktober, dan sebagai penggerak utama jentera serangan, Coutinho berhasrat untuk meningkatkan persembahan dan kekal mantap.

“Kami belajar sedikit demi sedikit,” kata pemain Brazil itu. “Apabila anda tiba di sini, bola sepak sangat berbeza dari segi gaya permainan, lebih sengit, lebih pantas dan anda banyak menggunakan badan.

“Saya rasa, saya sudah bertambah baik dalam perkara ini sejak saya tiba, memandangkan saya datang dari gaya bola sepak yang berbeza dan saya berharap boleh terus bertambah baik.”

Ramai menaruh harapan dengan kedatangan Klopp ke Anfield, tetapi penyokong masih kecewa apabila mereka mampu menang menentang pasukan hebat, tetapi tewas di luar jangkaan apabila bolos banyak gol kepada pasukan kerdil seperti Watford.

ARTIKEL YANG SAMA