CP7 Junior juara Liga Juara-Juara 4 Penjuru

CP7 Junior juara Liga Juara-Juara 4 Penjuru

Oleh Hazman HM

 

KUALA BELAIT, 23 Nov – Pasukan CP7 Junior bimbingan Noryani binti Haji Tuah muncul juara Kejohanan Liga Juara-Juara 4 Penjuru anjuran Champion 7 setelah menewaskan CP7 Veteran 4-2 menerusi sepakan penalti penentuan pada perlawanan akhir di Padang BSRC, di sini, malam tadi.

Empat buah pasukan iaitu CP7 Junior, CP7 Elite, CP7 Master dan CP7 Legend bersaing dalam kejohanan tersebut bersempena dengan perlawanan tahunan anjuran Champion 7 di mana kesemua perlawanan berlangsung selama 30 minit.

Selepas kesemua pasukan masing-masing melalui pusingan kalah mati perlawanan, CP7 Junior dan CP7 Veteran telah mara ke perlawanan akhir yang mana kedua-dua pasukan terikat seri dengan jaringan 3-3 dalam perlawanan masa sebenar dan tambahan menyebabkan kejuaraan perlu ditentukan dengan sepakan penalti penentuan.

Mohammad Safwan bin Haji Zainolarifin menjadi wira CP7 Junior apabila berjaya menepis dua sepakan penalti CP7 Veteran dan berjaya menerima hadiah selaku penjaga gol terbaik.

Sesi bergambar ramai di antara kedua-dua pasukan CP7 Veteran (Kuning) dan CP7 Junior (Hitam).
Sesi bergambar ramai di antara kedua-dua pasukan CP7 Veteran (Kuning) dan CP7 Junior (Hitam).

Manakala Abby Putra bin Rosman berjaya menerima hadiah selaku pemain terbaik dan Khairul Hadi bin Haji Hamid pula menerima hadiah penjaring terbanyak setelah menjaringkan lima gol sepanjang kejohanan tersebut.

Liga juara-juara anjuran tahunan Champion 7 itu antara lain bertujuan bagi meningkatkan lagi gaya hidup sihat dan memperkukuh jalinan persaudaraan yang sudah sedia terjalin dalam kalangan sesama ahli pekerja pelantar minyak Champion 7.