CPTPP beri kelebihan saingan serantau

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Perjanjian Komprehensif dan Progresif Perkongsian TransPasifik (CPTPP) yang baharu ditandatangani, dijangka memberi Malaysia kelebihan daya saing di rantau ini serta meningkatkan keyakinan pelabur.

Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) berkata perjanjian itu menjanjikan tahap ketelusan dan peraturan pelaburan yang boleh dijangkakan, konsesi tarif dan saluran untuk menangani halangan bukan tarif bagi pengeluar tempatan.

“CPTPP dijangka mempelbagaikan eksport produk buatan Malaysia. Sebagai contoh, lebih 80 peratus daripada eksport peralatan automotif, terutama komponen getah, dijangka menikmati akses duti percuma serta-merta.

“Ini akan membantu pengilang komponen dan alat ganti Malaysia untuk mengeksport kepada pengeluar peralatan asli (OEM) negara anggota CPTPP seperti Mexico dan menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global,” kata FMM kepada Bernama hari ini.

Persekutuan itu berkata konsesi tarif yang dipersetujui oleh setiap negara CPTPP akan meningkatkan eksport bagi industri elektrik dan elektronik (E&E) yang sudah pun menjadi penyumbang utama kepada pendapatan eksport Malaysia. Ia berkata pertumbuhan eksport juga dijangkakan di negara lain seperti Kanada dan negara Amerika Latin, terutama Mexico.

Gambar fail menunjukkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk J.Jayasiri (kanan) semasa majlis menandatangani CTPP di Santiago, Chile. – AFP

“Negara terbabit kini mengenakan tarif yang tinggi ke atas peralatan elektrik, peranti telekomunikasi dan elektronik pengguna.”

Malaysia ialah peneraju pasaran bagi sarung tangan getah di Kanada, dan kedua di Peru dan Mexico selepas China. Barangan lateks, terutama sarung tangan getah, kekal sebagai penyumbang terbesar kepada eksport produk getah Malaysia.

“Memandangkan peningkatan dalam permintaan sarung tangan nitril di Kanada, penyertaan Malaysia dalam CPTPP akan memberi kelebihan daya saing kepada pengeluar sarung tangan negara ke atas negara bukan CPTPP seperti China,” katanya.

FMM berkata pengilang juga dijangka mendapat manfaat daripada kepelbagaian sumber input import dan komponen industri.

“CPTPP membolehkan penambahan sumber import bahan mentah yang lebih baik dari Jepun dan Mexico. Ia juga menyediakan sumber alternatif untuk jentera berat dan peralatan,” katanya. – Bernama