CR7 impi gol sempurna ‘PlayStation’

CR7 impi gol sempurna ‘PlayStation’

MADRID, 4 Mac (AFP) – Cristiano Ronaldo sudah melakukan segala-galanya bagi menolak andaian dia lebih mementingkan kejayaan individu sambil menegaskan impiannya menjaringkan gol dengan cara melepasi kesemua 11 pemain lawan.

Bintang sensasi Real Madrid itu sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila mengatakan kelab gergasi Sepanyol itu akan berada di puncak liga sekiranya rakan sepasukan lain berada pada tahap sepertinya.

Dan dia menggambarkan impiannya itu sebagai sesuatu yang boleh dilakukan dalam permainan video dan bukannya aksi sebenar.

“Saya sudah menjaringkan banyak gol yang bagus,” kata Ronaldo yang kini muncul sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Real selepas meledak 348 gol dalam 334 penampilan.

Ronaldo mengimpikan jaringan sempurna untuk permainan ‘Playstation’. – Reuters
Ronaldo mengimpikan jaringan sempurna untuk permainan ‘Playstation’. – Reuters

“Impian saya untuk melepasi 11 pemain lawan dan menjaringkan gol. Ianya gol dalam permainan PlayStation yang saya rasakan mustahil, tetapi kita akan lihatnya nanti.”

Walaupun sudah menjaringkan 35 gol dalam 34 penampilan musim ini, Ronaldo dikritik kerana gagal menyumbat gol dalam perlawanan besar yang menyaksikan Real ketinggalan sembilan mata di belakang musuh tradisi, Barcelona.

Bagaimanapun, CR7 menegaskan prestasinya masih sama seperti yang pernah disaksikan ketika dinobatkan sebagai pemain terbaik dunia sebanyak tiga kali.

“Bakat tidak bermakna jika kamu tidak bekerja keras. Itu yang saya lakukan, bukan hanya tahun ini tetapi sejak 10 tahun lalu.”

ARTIKEL YANG SAMA