CR7 terus berteka-teki

CR7 terus berteka-teki

MADRID, 2 Okt (AFP) – Penyerang sensasi, Cristiano Ronaldo enggan menyuarakan komitmen mengenai masa depannya bersama Real Madrid selepas beberapa jam muncul sebagai penjaring terbanyak kelab gergasi Sepanyol itu.

Ronaldo menyamai rekod gol terbanyak Real bersama Raul Gonzalez dengan mengumpul 323 gol ketika Galaticos menundukkan Malmo dalam kempen Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Jaringan itu turut menyaksikan Ronaldo kini melepasi jumlah 500 gol sepanjang kariernya namun pemain kelahiran Portugal itu tidak pernah putus dikaitkan dengan perpindahan ke beberapa kelab ternama dunia lain. Ia termasuk kepulangan semula ke kelab lamanya, Manchester United selain ke kelab gergasi Perancis, Paris Saint Germain namun paling mengejutkan ialah penghijrahan ke Major League Soccer (MLS).

“Saya gembira di sini, saya mahu menang sesuatu di sini. Saya merasa baik namun saya sudah berkata jutaan kali tiada siapa yang tahu apa yang berlaku di masa depan,” kata pemain Terbaik Dunia tiga kali itu.

“Kita akan lihat apa yang berlaku esok namun ketika ini saya gembira di Real Madrid. Tiada siapa yang tahu apa yang berlaku tahun depan.

Cristiano Ronaldo (kanan) menerima trofi daripada presiden kelab Florentino Perez di stadium Santiago Bernabeu kelmarin selepas muncul sebagai penjaring terbanyak sepanjang masa Real Madrid. – AFP
Cristiano Ronaldo (kanan) menerima trofi daripada presiden kelab Florentino Perez di stadium Santiago Bernabeu kelmarin selepas muncul sebagai penjaring terbanyak sepanjang masa Real Madrid. – AFP

“Saya perlu mencapai sesuatu di sini, saya merasa bagus. Saya mahu memenangi sesuatu bersama Real Madrid kerana saya fikir kelab ini mempunyai potensi untuk memenangi sesuatu, namun saya tidak tahu apa yang berlaku di masa depan.”

Ronaldo bercakap buat pertama kali bersama media Sepanyol yang hadir ke Sweden bagi menyaksikan perlawanan itu sejak Februari lalu selepas kekalahan memalukan Real 4-0 kepada Atletico Madrid.

Ketika itu, Ronaldo dikritik hebat kerana meneruskan majlis hari jadinya yang ke-30 pada malam kekalahan itu selepas penyanyi Colombia, Kevin Roldan memaparkan gambarnya bersama beberapa lagi bintang Real sedang berpesta di laman sosial.

Pertahanan Barcelona, Gerard Pique secara sinis berterima kasih kepada Roldan atas kejadian yang berlaku di Madrid selepas kelab Catalan itu memenangi tiga gelaran, musim lalu.

“Ia bukan masanya untuk saya bercakap mengenai perkara itu. Apabila saya tidak bercakap ia adalah kerana ada sesuatu tidak betul, jadi semua orang boleh berfikir apa yang mereka mahukan,” kata Ronaldo mengenai kejadian itu.

“Ia adalah keputusan saya. Saya tidak mahu bercakap dan ia tidak diwajibkan kepada saya. Saya bercakap apabila saya mahu, Real Madrid tidak pernah mendesak saya untuk bercakap. “Mengapa saya kurang bercakap? Kerana soalan-soalan adalah tidak bagus,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA