CR7 tinggalkan sidang akhbar

CR7 tinggalkan sidang akhbar

ROM, 17 Feb – Cristiano Ronaldo meninggalkan sidang media dengan berang sebaik menjawab soalan mengenai jaringannya di tempat lawan yang semakin berkurangan.

Real Madrid bertandang ke laman Roma untuk perlawanan pertama kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi esok dan Ronaldo antara harapan pengendali Real, Zinedine Zidane untuk menembusi benteng kelab Itali itu.

Ronaldo memecahkan rekod kejohanan untuk jaringan paling banyak dalam peringkat kumpulan apabila meledak 11 gol awal musim ini, dan dia turut memegang rekod penjaring terbanyak dalam sejarah Liga Juara-Juara dengan 88 gol dalam 121 penampilan.

Bagaimanapun, penyerang Portugal itu berang apabila ditanya mengapa dia tidak lagi menjaringkan gol ketika bertandang ke tempat lawan sejak kemenangan 2-0 Real Madrid di Eibar pada 29 November lalu.

“Siapa lagi yang menjaringkan lebih banyak gol di tempat lawan berbanding saya sejak saya tiba di Sepanyol? Tiada jawapan? Baik. Terima kasih semua,” kata Ronaldo yang terus meninggalkan sidang media.

Ronaldo dan Zidane semasa sidang akhbar di Rom kelmarin sebelum perlawanan Liga Juara-Juara Real Madrid dan AS Roma dalam pusingan pertama 16 terakhir. – Reuters
Ronaldo dan Zidane semasa sidang akhbar di Rom kelmarin sebelum perlawanan Liga Juara-Juara Real Madrid dan AS Roma dalam pusingan pertama 16 terakhir. – Reuters

Ronaldo meledak 32 gol dalam semua pertandingan sepanjang musim ini – 21 di laman sendiri dan 11 di tempat lawan. Sejak jaringannya di Eibar, Ronaldo beraksi empat kali di tempat lawan tanpa sebarang gol dan bergelut untuk menampilkan prestasi terbaiknya ketika menentang Real Betis dan Granada dalam saingan La Liga.

“Ia boleh difahami mengapa peminat ragu-ragu,” kata Ronaldo di awal sidang media berkenaan.             “Ia seperti seorang anak yang diberikan semuanya, dan apabila anda menariknya semua, dia akan menangis. “Saya harap saya dapat mengekalkan ‘prestasi buruk’ ini sehingga ke akhir musim.” – Reuters