Creativol mara ke pusingan kedua

Creativol mara ke pusingan kedua

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Sept – Creativol menjaringkan sembilan gol berbalas tiga dalam perlawanan terakhir menentang NJP FT untuk mara ke pusingan kedua Futsal Piala Perdana TelBru 2015, mengatasi Bio FT dengan kelebihan satu gol.

Kemenangan itu membolehkan Creativol mengumpul mata yang sama dengan Bio FT iaitu empat mata tetapi dengan 18 jaringan berbanding hanya 17 gol dihasilkan Bio FT, bagi menjatuhkan Bio FT ke tangga ketiga.

Peluang Bio FT masih belum tertutup kerana tempat ketiga terbaik dari lima kumpulan itu akan turut mara ke pusingan kedua, dan setakat ini Bio FT mengisi slot itu kerana tempat ketiga Kumpulan A, PES, yang turut mengumpul empat mata hanya berjaya meledakkan 12 jaringan.

Dalam aksi terakhir Kumpulan B di Dewan Serba Guna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu, Creativol mendahului 3-1 pada separuh masa pertama dengan gol-golnya dijaringkan oleh Awangku Hairul Azmi (minit pertama), Abdul Halim (minit ketujuh) dan Md Yusri (minit ke-15). Gol NJP FT pula dijaringkan oleh Md Zambree pada minit ke-11.

Creativol (merah tua) berjaya mengalahkan NJP FT untuk mara ke pusingan kedua dengan kelebihan satu gol ke atas Bio FT.
Creativol (merah tua) berjaya mengalahkan NJP FT untuk mara ke pusingan kedua dengan kelebihan satu gol ke atas Bio FT.

Mohd Zambree menghasilkan gol kedua peribadi dan pasukan seminit selepas rehat, tetapi Mohd Yusri meledakkan tiga gol berturut-turut pada minit ke-26, ke-27 dan ke-28 untuk Creativol mendahului 6-2.

Kedudukan 6-3 apabila Mohd Azizi menjaringkan gol ketiga NJP FT pada minit ke-31. Amzar Mu’az kemudiannya menjadikan kedudukan 7-3 pada minit ke-36, disusuli gol Mohd Naim dan Mohd Yusri, kedua-duanya pada minit ke-37 untuk keputusan mutakhir 9-3.

Hi-Tune walaupun tewas 4-8 di tangan Bio FT, tetap mara ke suku akhir sebagai juara Kumpulan B dengan enam mata, manakala NJP FT terlepas peluang mara selepas hanya mengumpul tiga mata selepas menang 8-5 ke atas Bio FT dalam perlawanan pertamanya.