Creativol mara suku akhir

Creativol mara suku akhir

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Sept – Creativol menjadi pasukan ketujuh mara ke peringkat suku akhir Futsal Piala Perdana TelBru 2015 sekali gus tiket menyertai Liga Futsal Brunei (BFL) 2016 setelah berjaya menewaskan Kota Ranger FT 4-2 dalam saingan 16 Terakhir malam ini.

Pada perlawanan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu Shahassanal meledakkan hatrik buat Creativol bermula dengan jaringan pembuka tirai perlawanan seawal minit pertama untuk Creativol mendahului 1-0.

Shahassanal menggandakan pendahuluan Creativol pada minit ke-14 dan seminit kemudian Creativol semakin selesa apabila Mohd Naim menjadikan kedudukan 3-0, yang kekal sehingga rehat.

Shahassanal menemui sasarannya di gawang Kota Ranger FT buat kali ketiga pada minit ke-29 untuk catatan hatriknya sekali gus membawa Creativol terus selesa di depan dengan kedudukan kini bertukar menjadi 4-0.

Namun Kota Ranger FT tidak mengalah dan terus berusaha mendapatkan gol yang akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-36 menerusi rembatan Mohd Radhi.

Shahassanal (jersi 14 merah tua) ketika mencatat gol kedua Creativol. Dia mencipta hatrik bagi membantu Creativol menang 4-2 ke atas Kota Ranger FT.
Shahassanal (jersi 14 merah tua) ketika mencatat gol kedua Creativol. Dia mencipta hatrik bagi membantu Creativol menang 4-2 ke atas Kota Ranger FT.

Dua minit kemudian Kota Ranger FT mendapatkan gol keduanya daripada Awangku Harian, yang menjadikan perlawanan yang masih berbaki dua minit itu semakin hebat dan menarik, namun Creativol selepas itu bertahan kukuh bagi menamatkan perlawanan memihaknya 4-2.

Lawan Creativol di suku akhir nanti ialah juara Kumpulan E, XII Brothers, yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat, 18 Oktober nanti bermula pukul 8:00 malam.

Enam pasukan sudah pun terlebih lebih awal menempah tiket menyertai BFL 2016 dan mara ke suku akhir Futsal Piala Perdana TelBru 2015 .

Pasukan tersebut ialah lima juara kumpulan iaitu 1st Five, Hi-Tune SC, Star Madang, MBS United SC dan XII Brothers, serta naib juara Kumpulan A, BMB FT yang menang 4-1 ke atas naib juara Kumpulan C, LSCB Ahad lalu di peringkat 16 terakhir.