Creativol tumpaskan XII Brothers 5-3

Creativol tumpaskan XII Brothers 5-3

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Sept – Naib juara Kumpulan B, Creativol menjadi pasukan ketiga menyertai empat kelompok terbaik Futsal Piala Perdana TelBru 2015 setelah berjaya mengatasi juara Kumpulan E, XII Brothers dengan jaringan 5-3 malam ini.

Aksi menarik di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu telah mempertontonkan kepada hadirin kehebatan pemain kedua-dua pasukan yang jelas menunjukkan hasrat masing-masing untuk mara ke separuh akhir kejohanan.

Creativol menerajui separuh masa pertama dengan jaringan 2-0 menerusi jaringan Zulazri pada minit ke-10 dan Hasimirol pada minit ke-19 sebelum XII Brothers mengejar sejurus selepas rehat sehingga berjaya menyamakan kedudukan 2-2, kedua-duanya hasil jaringan Mohd Sofiyyuddin masing-masing pada minit ke-25 dan ke-27.

Namun Creativol kembali mendahului dengan ledakan tiga jaringan dalam tempoh empat minit bermula dengan jaringan kedua peribadi Zulazri pada minit ke-29 dan hatriknya dua minit kemudian, disusuli jaringan Mohd Zulmajdi pada minit ke-32 untuk kedudukan 5-2.

Persaingan sengit suku akhir ketiga Futsal Piala Perdana TelBru 2015 antara XII Brothers (kuning) dengan Creativol.
Persaingan sengit suku akhir ketiga Futsal Piala Perdana TelBru 2015 antara XII Brothers (kuning) dengan Creativol.

Bagaimanapun XII Brothers masih sempat menambah satu gol lagi dua minit sebelum perlawanan ditamatkan menerusi jaringan Mohd Afra untuk keputusan muktamad 5-3.

Creativol kini hanya perlu menanti pemenang perlawanan suku akhir keempat di antara dua pasukan sekumpulannya semasa peringkat kumpulan iaitu Hi-Tune SC (juara Kumpulan B) dan BIO FT (tempat ketiga Kumpulan B).

Dua pasukan yang sudah awal mara ke separuh akhir ialah juara Kumpulan C, Star Madang dan juara Kumpulan A, 1st Five, yang sudah pun memenangi perlawanan suku akhir mereka masing-masing Ahad lalu.

ARTIKEL YANG SAMA