Croatia menang besar 10-0

Croatia menang besar 10-0

ZAGREB, 5 Jun – Mario Mandzukic dan Nikola Kalinic, masing-masing merembat hatrik untuk membantu Croatia merekodkan kemenangan terbesar apabila membenam San Marino 10-0 pada aksi pemanas badan terakhir menjelang Euro 2016 di Rijeka, awal pagi tadi.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan tuan rumah memadam rekod terdahulu dengan kemenangan 7-0 ke atas Andorra pada kelayakan Euro 2008 dan Australia pada aksi persahabatan 1998.

“Saya hanya mahu mengucapkan tahniah kepada semua pemain atas komitmen mereka.

Mereka begitu bersemangat dan tidak mahu berputus asa untuk menjaringkan seberapa banyak gol yang boleh dijaringkan.

Mario Mandzukic (kiri) dan Ivan Rakitic meraikan gol kemenangan pasukan mereka. – AFP
Mario Mandzukic (kiri) dan Ivan Rakitic meraikan gol kemenangan pasukan mereka. – AFP

“Kami mahu membina situasi yang positif dalam pasukan menjelang Euro 2016 dan kami berjaya melakukannya. Saya berpuas hati dengan persembahan penyerang yang begitu yakin untuk meledak gol,” kata jurulatihnya, Ante Cacic.

Pada aksi terbabit, pelawat berjaya bertahan selama 20 minit sebelum mula ‘dibelasah’ yang menyaksikan Croatia mendahului 6-0 pada babak pertama di Stadium Rujevica.

Croatia diundi dalam Kumpulan D bersama juara bertahan, Sepanyol , Republik Czech dan Turki. – Agensi

 

ARTIKEL YANG SAMA