Crowdplus.Asia tawar pinjaman kewangan alternatif

Crowdplus.Asia tawar pinjaman kewangan alternatif

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN,  11 Mei – Pengusaha kecil dan sederhana (PKS) di negara ini harus benar-benar memahami bagaimana pendanaan kumpulan (crowd funding) beroperasi dan kesan serta manfaat yang dibawanya kepada pihak yang berminat.

Sehubungan itu, industri PKS tempatan perlu terlebih dulu arif tentang pengendalian, syarat dan peraturan serta risiko yang bakal dihadapi jika berlaku perlanggaran syarat antara peminjam dan institusi pinjaman alternatif, yang jika dipatuhi boleh juga menjadi perangsang yang merancakkan aktiviti ekonomi di negara ini.

Anggota Majlis Perniagaan Kawasan Pertumbuhan Asia Timur-Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina (BIMP-EAGA) Negara Brunei Darussalam (BEBC), Haji Mahmud bin Haji Mohd Daud berkata, pinjaman kewangan adalah penting bagi memastikan pertumbuhan pesat ekonomi negara terutama kepada industri PKS dan sektor tidak formal.

Beliau yang juga Pengerusi Tetap Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei (DPPMB) berkata demikian ketika memberikan komen pada majlis pelancaran platform dana kumpulan ekuiti yang pertama di ASEAN oleh Crowdplus.Asia, yang berlangsung di Dewan Mahligai, The Airport Mall, Berakas, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat merasmikan pelancaran itu ialah Pengerusi Eksekutif Majlis Perniagaan BIMP-EAGA, Pengiran Yura Kesteria bin Pengiran Setia Negara Haji Mohd Yusuf.

Pengiran Yura Kesteria (dua, kiri) merasmikan platform dana kumpulan BIMP-EAGA oleh Crowdplus.Asia
Pengiran Yura Kesteria (dua, kiri) merasmikan platform dana kumpulan BIMP-EAGA oleh Crowdplus.Asia
Haji Mahmud (duduk, keempat dari kanan) bersama peserta forum.
Haji Mahmud (duduk, keempat dari kanan) bersama peserta forum.

Menurut Haji Mahmud, penjelasan lebih lanjut perlu diperoleh daripada pihak berkuasa tempatan seperti Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) mengenai kedudukan syarikat seperti itu menjalankan operasinya secara sah di negara ini dan sama ada sejajar dengan dasar kerajaan terhadap pembangunan sektor ekonomi di negara ini.

“Khidmat yang ditawarkan oleh Crowdplus.Asia melalui dana kumpulan ini ialah sumber pinjaman kewangan alternatif kepada para peniaga supaya mereka tidak perlu lagi membuat pinjaman kewangan melalui institusi perbankan yang mengenakan prasyarat pinjaman yang ketat dan memakan masa yang lama untuk mendapat kelulusan atau menunggu bantuan pihak kerajaan.

“Oleh sebab tempoh mendapatkan kelulusan pinjaman daripada bank memakan masa yang lama maka itulah yang membuatkan dana kumpulan begitu menarik perhatian para pengusaha PKS yang seterusnya cenderung untuk membuat pinjaman kewangan melaluinya.”

Haji Mahmud turut menyuarakan kebimbangannya jika peminjam tidak memahami sepenuhnya mengenai selok-belok operasi dana kumpulan, risikonya ialah mereka mungkin berdepan dengan masalah pembayaran balik dan boleh mengakibatkan timbulnya masalah sosial.

Ditanya sama ada terdapat garis panduan bagi pengusaha yang ingin mendapatkan pinjaman melalui dana kumpulan itu, struktur ekuiti dan keuntungan bagi pelabur dalam dana kumpulan, Haji Mahmud berkata, banyak yang perlu diteliti lagi sebelum sesuatu garis panduan dapat dirumuskan.

Pengiran Yura Kesteria ketika diminta memberikan komen berkata, platform pendanaan berkumpulan BIMP-EAGA merupakan usaha yang baik tidak hanya kepada industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) tetapi juga kepada bidang perusahaan lain.

Ini kerana, jika pengusaha cuba mendapatkan dana atau pinjaman daripada institusi kewangan, kerap kali mereka terpaksa berhadapan dengan kesukaran dan perlu memenuhi syarat-syarat tertentu seperti cagaran yang diperlukan oleh pihak bank.

“Bagaimanapun, mereka perlu menilai tahap perniagaan yang dijalankan sama ada ia memerlukan pembiayaan dana dan status pembayaran balik pinjaman yang diperoleh daripada dana kumpulan tersebut.”

Menurutnya lagi, kaedah pengumpulan dana dalam pendanaan kumpulan adalah melalui pelaburan satu-satu projek yang dijalankan yang dilakukan sama ada oleh individu atau organisasi dan mana-mana pelabur yang berminat untuk melabur dalam sesuatu perniagaan itu boleh membuat pelaburan.

Beliau seterusnya mengalu-alukan pelancaran pendanaan kumpulan dalam BIMP-EAGA kerana khidmat itu dapat merangsang lagi pelaksanaan projek-projek ekonomi di rantau itu.

Taklimat mengenai platform pendanaan kumpulan yang ditawarkan oleh Crowdplus.Asia dikendalikan oleh Ketua Pegawai Operasi Crowdplus.Asia, Bryan Chung yang membincangkan bagaimana dana kumpulan itu boleh dimanfaatkan oleh para pengusaha yang berminat.

ARTIKEL YANG SAMA