Crutchlow juarai GP Czech

Crutchlow juarai GP Czech

BRNO, Republik Czech, 22 Ogos – Pelumba Britain, Cal Crutchlow daripada pasukan Honda meraih gelaran sulung MotoGP apabila menguasai perlumbaan yang berlangsung dalam hujan pada Grand Prix (GP) Republik Czech di Brno, hari ini.

Legenda Itali, Velentino Rossi menamatkan perlumbaan di tempat kedua bersama jentera Yamaha selepas ketinggalan lebih tujuh saat di belakang Crutchlow.

Dia mengatasi pendahulu keseluruhan, Marc Marquez yang menamatkan saingan di tempat ketiga.

Berbaki tujuh perlumbaan musim ini, keputusan itu menyaksikan Marquez kekal di tangga teratas dengan 197 mata, 53 mata berkelebihan di depan Rossi.

Juara dunia bertahan, Jorge Lorenzo turun ke tangga ketiga keseluruhan dengan 138 mata selepas sekadar menamatkan saingan di tempat ke-17 – dia menjadi mangsa kepada percaturan strategi yang silap.

(Dari kiri) di tempat kedua, Valentino Rossi, juara, Cal Crutchlow (tengah) dan tempat ketiga, Marc Marquez, meraikan kemenangan mereka di podium dalam Grand Prix (GP) Republik Czech di Brno. – AFP
(Dari kiri) di tempat kedua, Valentino Rossi, juara, Cal Crutchlow (tengah) dan tempat ketiga, Marc Marquez, meraikan kemenangan mereka di podium dalam Grand Prix (GP) Republik Czech di Brno. – AFP

“Kami melakukan yang terbaik hari ini , saya sangat gembira dengan pasukan saya,” kata pelumba berusia 30 tahun, Crutchlow.

“Saya merosakkan jentera saya semalam dan secara jujurnya, mereka tidak meninggalkan litar sehingga tengah malam. Ini adalah cara terbaik (muncul juara) untuk membalas usaha mereka”.

Bagaimanapun, dia yang mencium telefon selepas menghubungi isterinya yang melahirkan anak sulung mereka pada 2 Ogos lalu mengakui kemenangan dalam perlumbaan MotoGP bukanlah segala-galanya.

“Saya menjangkakan perasaan yang berbeza tetapi dengan Lucy melahirkan anak kami minggu sebelum ini, ia adalah perasaan yang terbaik di dunia.

“Jangan silap dengan kenyataan saya ini, memenangi perlumbaan adalah menakjubkan tetapi saya meraih hadiah yang lebih istimewa beberapa minggu lalu,” katanya. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA