CSPS anjur bengkel Kaedah Penyelidikan & Analisis Polisi

CSPS anjur bengkel Kaedah Penyelidikan & Analisis Polisi

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Feb – Pusat Pengajian Strategik dan Polisi (CSPS) akan mengadakan satu bengkel mengenai analisa dasar dan kaedah penyelidikan selama lapan hari di pusat pelatihan CSPS pada 7 hingga 10 dan 14 hingga 17 Mac 2016.

Bengkel yang bertajuk ‘Kaedah Penyelidikan dan Analisis Polisi’ (Policy Analysis and Research Methods) itu memperkenalkan teori, kaedah dan proses-proses penyelidikan yang praktikal untuk membantu dalam menganalisis dasar, pelaksanaan dasar dan penilaian dasar.

Bengkel ini bersesuaian kepada mereka yang berminat dalam bidang penyelidikan di peringkat sarjana muda dan sarjana, penuntut-penuntut di peringkat sarjana dan PhD, dan para pegawai kerajaan serta swasta yang ingin mendapatkan kemahiran praktikal dalam kaedah penyelidikan dan latihan untuk membuat keputusan.

Para peserta bengkel ini akan mendapat pelbagai kemahiran penyelidikan untuk membantu dalam pembentukan dasar, seperti cara-cara bagaimana untuk menyediakan soalan-soalan penyelidikan dasar, mereka bentuk pelan penyelidikan, mengumpul data, menganalisis dan mentafsir data, serta melaporkan penemuan penyelidikan secara efektif.

Peserta bengkel juga akan mendapat pengalaman baru dalam menggunakan perisian standard industri seperti SPSS (Statistical Package for the Social Sciences) dan GIS (Geographic Information Systems).

Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai bengkel ini, bolehlah menghubungi CSPS di talian 2445841 sambungan 1521 atau layari laman web www.csps.org.bn.

ARTIKEL YANG SAMA