CSPS dilantik laksana kajian pelancongan Brunei

CSPS dilantik laksana kajian pelancongan Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Nov – Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP), Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Negara Brunei Darussalam telah melantik Pusat Pengajian Strategik dan Polisi (CSPS) untuk melaksanakan kajian mengenai ‘Updating the Tourism Satellite Account (TSA) and Passenger Exit Survey for Brunei Darussalam’.

Majlis penandatanganan perjanjian kontrak perkhidmatan tersebut berlangsung hari ini. JKP diwakili oleh Pengarahnya, Haji Mohd Zamree bin Haji Junaidi manakala menandatangani bagi pihak CSPS ialah Pengarah Eksekutifnya, Haji Mohd Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menjadi saksi bagi majlis penandatanganan tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap KSSUP, Awang Wardi bin Haji Mohd Ali.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JKP, konsultan utama bagi kajian kebangsaan selama lima bulan itu adalah pakar-pakar penyelidik CSPS terdiri daripada Dr. Diana Cheong, Dr. Giuseppe Rizzo dan Liew Chee Hau.

Kajian tersebut mempunyai tiga objektif utama; pertama, adalah untuk mengumpul, menganalisis dan mengemaskinikan data-data perangkaan yang diperlukan untuk Tourism Satellite Account (TSA) bagi Negara Brunei Darussalam dan sumbangannya kepada KDNK; kedua, untuk menilai sikap dan cita rasa pelancong yang berkunjung ke Negara Brunei Darussalam, serta tahap keselesaan mereka dengan prasarana dan perkhidmatan yang telah disediakan; dan ketiga untuk mengenalpasti hubungan di antara preferences, corak dan korelasi, tingkah laku dan ciri-ciri latar belakang sampel pelancong-pelancong.

Haji Mohd Rozan (kiri) dan Haji Mohd Zamree bertukar dokumen perjanjian sambil diperhatikan oleh Awang Wardi (tengah).
Haji Mohd Rozan (kiri) dan Haji Mohd Zamree bertukar dokumen perjanjian sambil diperhatikan oleh Awang Wardi (tengah).

Menurut Haji Mohd Zamree, kajian itu akan memberikan data penanda aras bagi JKP untuk merancang dan merangka strategi-strategi yang lebih berkesan untuk menarik lebih ramai pelancong ke Negara Brunei Darussalam.

“Perkara ini sangat berguna yang mana pelancongan merupakan sebagai salah satu sektor yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan KDNK dalam Negara ini,” katanya.

Sementara itu Dr. Diana pula berkata, CSPS adalah pusat yang berpengalaman dan mempunyai kepakaran dalam pengumpulan dan analisa data mengenai isu-isu pembangunan nasional, termasuk pelancongan di Negara Brunei Darussalam.

Tambah beliau, kepakaran pengumpulan dan analisa data CSPS terdiri daripada secondary sources, seperti statistik rasmi dan literature yang relevan, melalui pengumpulan data utama apabila data tersebut tidak wujud.

CSPS telah melaksanakan beberapa kaji selidik diperingkat kebangsaan termasuk statistically representative samples untuk kedua-dua pelanggan tempatan dan luar negara (seprti RTI USA, Bank Dunia dan ASEAN).

Kaji selidik ini akan bermula pada bulan Disember 2016 dan akan melibatkan ketibaan pelancong di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei serta beberapa pos-pos kawalan imigresen di Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA