CSPS usaha inovasi organisasi

CSPS usaha inovasi organisasi

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Sept – Pusat Bagi Pengajian Strategik & Dasar (CSPS) selaku kumpulan pemikir utama dasar di negara ini, kini berusaha ke arah menjadi kumpulan pemikir berpandangan jauh yang diiktiraf antarabangsa.

Pengarah Eksekutifnya, Haji Mohd Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos berkata, CSPS akan mengusahakan inovasi organisasi dan bentuk strategi-strategi jangkaan tadbir urus yang sesuai dengan mandat CSPS dan menjadi keperluan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, ke arah mencapai matlamat Wawasan 2035.

Katanya, Inisiatif Masa Depan Brunei (BFI) CSPS ditubuhkan untuk mewujudkan hubungan sinergi antara individu-individu dan pertubuhan, sama ada pakar, pengamal-pengamal, penyelidik-penyelidik atau mereka yang mempunyai minat dalam pandangan jauh strategik untuk bekerjasama dalam pandangan jauh berkaitan cabaran dasar untuk membentuk usaha bersama yang begitu berkesan dan menjana kejayaan bermakna bagi kerajaan dan rakan-rakan.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Forum CSPS yang berlangsung di sini semalam.

Kira-kira 150 peserta terdiri daripada setiausaha-setiausaha tetap, ketua-ketua eksekutif serta para pegawai kanan dan eksekutif dari kerajaan dan sektor swasta menghadiri forum tersebut.

Haji Mohd Rozan ketika memberi ucapan mengenai usaha CSPS.
Haji Mohd Rozan ketika memberi ucapan mengenai usaha CSPS.

Penceramah undangan khas CSPS bagi forum itu ialah Profesor Sohail Inayatullah, Pengerusi UNESCO dalam Pengajian Masa Depan dan seorang profesor di Universiti Sekolah Perniagaan Melbourne, Sunshine Coast dan Universiti Tamkang, Taipei. Tajuk ceramah beliau ialah Global Waves of Change: Drown, Ride or Become the Wave Maker.

Penyampaian kedua tentang ‘Pilihan Pembangunan Masa Depan Brunei’ di-sampaikan oleh Penyelidik Kanan di CSPS, Dr. Ivana Milojevic; manakala Ketua Penyelidik CSPS, Dr. Diana Cheong, menyampaikan ceramah bertajuk ‘Brunei’s Trends and Emerging Issues as Warning Signals for Addressing the Future’ (Trend Brunei dan Isu-isu yang Berbangkit sebagai Amaran bagi Menangani Masa Depan).

Perbincangan panjang para panel kemudian disusuli dengan sesi interaktif soal jawab yang memberikan peluang kepada para peserta untuk membincangkan dan berinteraksi dengan para penyampai tentang beberapa topik yang ditonjolkan.

Para panel forum ketika membincangkan tajuk masing-masing.
Para panel forum ketika membincangkan tajuk masing-masing.

Menurut kenyataan CSPS, forum itu diterima baik dan menerima maklum balas positif dari para peserta yang rata-rata berpendapat bahawa ia sebenarnya peluang besar untuk memahami lebih lagi tentang pandangan jauh dan bagaimana ia boleh membantu mereka seterusnya dalam pembentukan dasar bagi Brunei.

Salah seorang peserta berkata, pandangan jauh bukanlah bidang mudah untuk dikuasai dan tiga orang penyampai telah menjelaskannya dengan begitu baik tentang apakah itu pandangan jauh, yang mana saya ingin sekali mempelajarinya lebih lagi tentang perlaksanaannya dan metodologi.

Seorang peserta dari sektor swasta juga mengulas “ia telah menjadi pembuka mata untuk melihat kemungkinan bagaimana masa depan itu akan terjadi.”

Salah seorang penyelidik CSPS, Dayang Yuzilawati binti Abdullah yang juga penyelaras Inisiatif Masa Depan Brunei CSPS memberitahu, CSPS akan menjalankan siri-siri tiga bengkel iaitu Siri Bengkel Pembangunan Eksekutif dalam Pandangan Jauh Strategik dan Perancangan Strategik bermula November tahun ini berhubung Pandangan Jauh Strategik dan Imbasan Lingkungan, diikuti dengan Perancangan Strategik menggunakan Pemikiran Sistem pada Januari 2017 dan Pembelajaran Tindakan dan Penilaian pada Mac 2017. Mereka yang berhasrat mengetahui lebih tentang kursus ini sila hubungi CSPS bagi butiran lanjut.

ARTIKEL YANG SAMA