Cuaca bantu operasi memadam api

Cuaca bantu operasi memadam api

Oleh Anwar Rosly

 

BELAIT, 9 Mac – Keadaan cuaca pada masa ini telah banyak membantu dalam operasi memadam api kebakaran hutan yang melanda Daerah Belait, yang mana usaha membanjiri tanah gambut kini dibantu oleh hujan lebat yang mampu memadam kepulan-kepulan asap dari padatanah gambut itu sendiri.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), Awang Yahya bin Haji Abdul Rahman berkata, tanah gambut yang kering sering kali menjadi punca kebakaran marak hingga ke pedalaman hutan dan menjadi cabaran utama para anggota bomba dan penyelamat membendung serta mengawal api kebakaran daripada tersebar luas.

Menjawab pertanyaan media mengenai sebarang perancangan bagi mengekang masalah yang sering terjadi pada awal setiap tahun daripada berlaku lagi, Awang Yahya berkata pihak mereka akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan lain yang terlibat dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Belait (Belait DDMC) untuk merangka pelan jangka masa panjang bagi membendung isu kebakaran hutan di sini bagi masa akan datang.

Seorang pegawai bomba memberikan penerangan mengenai perkembangan operasi.
Seorang pegawai bomba memberikan penerangan mengenai perkembangan operasi.
Awang Yahya (dua kanan) ketika mengadakan lawatan tersebut.
Awang Yahya (dua kanan) ketika mengadakan lawatan tersebut.

“Kawasan Daerah Belait sememangnya mudah terdedah kepada kebakaran tanah gambut kerana sifatnya yang kering dan saiznya yang merangkumi banyak kawasan, (justeru) langkah seterusnya adalah pencegahan, penguatkuasaan serta penambahbaikan dari segi melaksanakan operasi memadam,” ujarnya lagi semasa sesi temu bual bersama media di Balai Bomba dan Penyelamat cawangan Seria selepas lawatan wakil-wakil dari Belait DDMC ke Pos Kawalan Insiden (ICP) di Lebuh Raya Mumong Bypass, Seria, hari ini.

Lawatan berkenaan adalah bagi melihat perkembangan isu bencana kebakaran hutan yang melanda Daerah Belait sepanjang musim panas sejak dua bulan lalu.

Awang Yahya turut memberitahu, sebarang perancangan dalam merangka pelan pencegahan, penguatkuasaan serta penambahbaikan operasi akan dibincangkan bersama-sama agensi kerajaan yang lain dalam Belait DDMC bagi memikirkan cara untuk menghindarkan dan mengurangkan masalah yang berulang ini daripada berlaku pada masa akan datang.

ARTIKEL YANG SAMA