Cuaca buruk halang operasi membawa balik mangsa

Cuaca buruk halang operasi membawa balik mangsa

WELLINGTON, 23 Nov (dpa) – Pasukan-pasukan menyelamat hari ini tidak berupaya untuk sampai ke Glasier Fox di selatan New Zealand untuk meneruskan operasi membawa balik mangsa-mangsa yang telah terkorban dalam kemalangan helikopter pada hujung minggu lepas, menurut pihak polis.

Empat mayat daripada tujuh orang yang telah terkorban pada nahas Sabtu lalu telah berjaya dibawa balik pada pagi kelmarin ketika cuaca buruk reda seketika.

Semua penumpang helikopter persiaran itu terkorban termasuk juruterbang warga New Zealand, dan pelancong dari England dan Australia.

Mangsa-mangsa tersebut termasuk juruterbang Mitchell Gameren, 28, pelancong Inggeris Andrew Virco, 50, Katharine Walker, 51, Nigel Charlton, 66, dan Cynthia Charlton, 70, dan pelancong Australia Savannmony Leang, 27, dan Josephine Gibson, 29.

Pihak polis berkata operasi-operasi untuk membawa balik mayat-mayat tidak mungkin akan diteruskan sebelum Rabu kerana cuaca buruk dan rupa bumi yang berbahaya di lokasi kemalangan.

Kawasan rupa bumi yang rumit dan cuaca teruk menyukarkan kerja mengambil kembali mayat mangsa kemalangan. – Reuters
Kawasan rupa bumi yang rumit dan cuaca teruk menyukarkan kerja mengambil kembali mayat mangsa kemalangan. – Reuters

Ketua Pasukan Penyelamat Alpine, Cliff Marius Bron berkata bekerja di atas ais rapuh pada glasier itu seperti bekerja pada bertih jagung.

“Jika kamu bayangkan semangkuk bertih jagung – semua ais disusun dan tidak stabil, terdapat banyak jurang di sana – itulah yang kami hadapi.”

Penyiasat Suruhanjaya Penyiasatan Kemalangan Pengangkutan Peter Northcote memberitahu laman sesawang Stuff di sana buat masa ini dia tidak tahu apa yang menyebabkan kemalangan itu.

“Kami masih jauh untuk mengenal pasti apa yang menyebabkan kemalangan ini.”

Tiada panggilan kecemasan dari helikopter itu sebelum kemalangan, katanya.

ARTIKEL YANG SAMA