Cuaca buruk jejas operasi

Cuaca buruk jejas operasi

JAYAPURA, 19 Ogos – Enam mayat daripada 54 mangsa nahas pesawat ATR 42-300 Trigana Air Service Indonesia yang terhempas di pergunungan Papua sudah dikeluarkan dan dihantar ke pekan Oksibil.

Jurucakap tentera tempatan, Pudji Teguh Rahardjo, berkata 11 mayat lagi sedang dibawa keluar menggunakan jalan darat menuruni lereng gunung dan lebih 300 orang terbabit dalam operasi itu.

Menurutnya, selepas semua mayat berjaya dikeluarkan, ia akan diterbangkan ke bandar utama Papua, Jayapura.

Pasukan penyelamat mahu menggunakan helikopter untuk mengangkut mayat berkenaan tetapi angin kencang serta cuaca buruk membahayakan keadaan.

“Dalam keadaan cuaca sekarang mustahil untuk menggunakan helikopter, jadi kami terpaksa menggunakan jalan darat,” kata Rahardjo.

Beberapa mangsa nahas yang kini telah dibawa turun dari pergunungan. – AFP
Beberapa mangsa nahas yang kini telah dibawa turun dari pergunungan. – AFP

Kapal terbang yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Indoensia Trigana Air terhempas pada Ahad ketika penerbangan dekat dalam cuaca buruk di wilayah Papua, membunuh semua orang.

Anggota menyelamat berjaya sampai ke tapak nahas, berhampiran petempatan Oksibil yang menjadi destinasi kapal terbang, dua hari kemudian selepas usaha awal dihalang oleh rupa bumi kasar, kabus tebal dan hujan lebat.

Mereka menemui pesawat udara turbo-prop berkembar ATR 42-300 yang sudah berkecai berselerak di kawasan hutan jarang, dan mayat penumpang. Mereka juga menemui perakam data penerbangan kotak hitam kapal terbang.

Ia adalah kemalangan udara terbaru di Indonesia, yang mempunyai rekod keselamatan penerbangan yang lemah dan mengalami nahas besar dalam beberapa bulan ini, termasuk nahas kapal terbang AirAsia pada Disember dan meragut 162 nyawa.

Pihak berkuasa merancang membawa mangsa yang terbunuh dengan kapal terbang dari tapak nahas tetapi cuaca buruk hari ini menjadikannya mustahil dilakukan, kata Kapten Beni Sumaryanto, pengarah perkhidmatan operasi Trigana Air.

“Cuaca adalah tidak baik hari ini, dengan jarak penglihatan 500 meter,” beritahunya kepada AFP dari Jayapura, ibu negara Papua. “Keadaan adalah teruk.”

Dua buah helikopter sedia menunggu untuk membantu dalam operasi mencari, kata beliau. Kira-kira 75 orang tinggal semalaman berhampiran tapak nahas dan dijangka memulakan usaha mencari hari ini.

Tiga orang penyiasat daripada agensi Perancis BEA, yang menyiasat kemalangan kapal terbang, telah berlepas ke Indonesia bersama empat penasihat teknikal daripada ATR, pembuat kapal terbang Eropah yang berpangkalan di Perancis, untuk menyiasat kemalangan itu. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA