Cuaca buruk j...

Cuaca buruk jejas Terbuka Qatar

DOHA, 14 Feb – Bekas pemain nombor satu dunia, Jelena Jankovic (gambar) merupakan pemenang yang paling terkenal dalam Terbuka Qatar yang terjejas kerana hujan dan ribut semalam.

Pemain Serbia tersebut, bekas finalis Terbuka AS, menewaskan pemain dari Bulgaria, Tsevtana Pironkova 6-1, 6-7 (6/8), 6-4 dalam pusingan pertama kelayakan yang berlangsung selama dua jam setengah.

Ia adalah kali pertama Jankovic bermain dalam kelayakan sejak 2004. Ia juga merupakan kemenangan ketujuh berturut-turut menentang Pironkova.

Terdapat juga beberapa kemenangan bagi pemain tenis Amerika, Christina McHale dan Madison Brengle untuk mara ke undian utama.

Dan lewat hari tersebut yang juga terjejas oleh hujan, pemenang Terbuka AS 2011, Samantha Stosur, berjaya menewaskan Anastasija Sevastova dari Latvia 7-5, 6-4.

Tetapi secara keseluruhannya, hari tersebut dilanda cuaca buruk, dengan beberapa perlawanan terpaksa dihentikan buat sementara waktu.

Dan dengan ramalan cuaca menyatakan lebih banyak cuaca buruk melanda Doha minggu ini, ia mungkin terbukti memberikan sakit kepala buat para penganjur.

Pemain-pemain pilihan termasuk Angelique Kerber dan Karolina Pliskova, tidak akan bermain sehingga Rabu.

Qatar, terkenal kerana cuaca panasnya yang telah menyaksikan tuan rumah bagi Piala Dunia bola sepak 2022 itu mengganjakkan kejohanan tersebut ke bulan November/Disember pada tahun tersebut, telah mengalami cuaca tidak baik dalam 10 hari kebelakangan ini.

Awal bulan ini, negara padang pasir tersebut telah merekodkan suhu paling rendah, hanya 1.5 darjah Celsius. – AFP