Cuaca kering dijangka sehingga September

Cuaca kering dijangka sehingga September

KUCHING, 7 Julai (Bernama) – Cuaca panas dan kering di Sarawak terutama di bahagian barat dan utara negeri ini dijangka berterusan sehingga September ini.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), Sarawak dijangka menerima taburan hujan sedikit di bawah normal dengan jumlah hujan bulanan di dalam julat 150mm hingga 300mm.

Sehubungan itu, mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak mengarahkan agensi dan jabatan kerajaan mengambil tindakan proaktif bagi menghadapi kemarau dan jerebu di negeri ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu Numpang hari ini, turut meminta penyedia bekalan air seperti Lembaga Air Kuching (LAK) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) merangka persiapan pelan luar jangka jika berlaku kekurangan bekalan air.

Sementara itu, kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa pengurusan Bencana Negeri Sarawak hari ini, turut meminta JMM, Jabatan Alam Sekitar dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk sentiasa memantau keadaan semasa. Orang ramai khususnya di kawasan yang sering menghadapi masalah kekurangan air semasa musim kemarau turut dinasihatkan membuat persediaan awal bagi menghadapi keadaan tersebut.

JPBN juga meminta orang ramai tidak membazirkan bekalan air di dalam kehidupan seharian dan pada masa sama, mengelakkan pembakaran terbuka bagi menghindarkan risiko kebakaran penempatan dan hutan yang boleh mengakibatkan jerebu.

Orang ramai juga diminta segera melaporkan sebarang kejadian kebakaran hutan kepada pihak berkuasa.

Menurut kenyataan itu juga, cuaca panas dan kering boleh menjejaskan kesihatan dan orang ramai dinasihatkan sentiasa mengambil langkah perlu bagi mengelak kesan strok haba dengan meminum air yang mencukupi.