Cuaca kering sehingga Jun

Cuaca kering sehingga Jun

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 April – Negara Brunei Darussalam terus mengalami keadaan cuaca kering dan panas sejak awal Januari berikutan Fenomena El Nino berintensiti kuat di rantau Asia Pasifik dan dijangka akan beransur-ansur berkurangan menjelang Jun nanti.

Disebabkan keadaan ini, beberapa kawasan belukar dan hutan di negara ini, terbakar sehingga mengakibatkan beberapa kawasan diselubungi jerebu.

Menurut Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam, jumlah turunan hujan dalam bulan ini di bawah paras normal, yang mana, pengurangan turunan hujan melebihi 40 peratus daripada purata turunan hujan jangka panjang.

Jabatan itu menyatakan lagi bahawa berdasarkan ramalan iklim bermusim terkini yang dikeluarkan oleh pusat-pusat iklim dunia terkemuka, Fenomena El Nino yang kuat diramalkan berterusan di Lautan Pasifik sebelum beransur-ansur berkurangan menjelang Jun 2016.

Akibat fenomena global berkenaan, Brunei Darussalam mengalami aktiviti turunan hujan yang sangat berkurangan terutamanya bulan ini. Klimatologi Mac dikenali sebagai bulan yang mempunyai jumlah turunan hujan paling rendah bagi Brunei Darussalam di samping Februari berbanding bulan-bulan lain.

Meskipun turunan hujan kurang, aktiviti seumpamanya masih berpotensi berlaku di seluruh negara, terutamanya di kawasan pantai pada awal pagi.

El Nino merujuk kepada pemanasan pada suhu permukaan laut di seluruh tengah dan timur tengah Pasifik Khatulistiwa, dikaitkan dengan kelompok lautan panas dan perubahan corak cuaca di kawasan yang terjejas.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Kaji Cuaca menasihatkan orang ramai supaya lebih mengamalkan penjimatan air dan mengelakkan pembakaran terbuka.

Untuk maklumat terkini, orang ramai bolehlah menghubungi pegawai peramal kaji cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca Brunei, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook (bruneiweather) dan aplikasi mudah alih Brunei WX.

ARTIKEL YANG SAMA