Cuaca masih aktif

Cuaca masih aktif

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Dis – Hujan turun hampir setiap hari di Negara Brunei Darussalam sejak awal Disember hingga semalam dengan jumlah hujan yang dicatatkan di Stesen Pencerapan Kajicuaca Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dalam tempoh berkenaan adalah 326.9 mm, iaitu 95 peratus daripada jumlah purata jangka panjang bagi bulan Disember (iaitu 345.0 mm).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan semalam, keadaan cuaca yang aktif ini adalah kesan tidak langsung Taufan Melor yang melintasi Filipina, tetapi kini sudah reda.

Ini diikuti dengan pembentukan kawasan lembapan yang aktif di sepanjang Khatulistiwa berhampiran rantau kita.

Gabungan kawasan lembapan dengan galakan dari luruan angin sejuk Timur Laut telah menjurus kepada hujan lebat dan keadaan berangin dari 16 hingga 18 Disember lalu sehingga menyebabkan beberapa kawasan rendah mengalami banjir kilat.

Berdasarkan jangkaan jumlah terkini, hujan diramal masih lagi turun dalam beberapa hari dan orang ramai, pengguna jalan raya dan nelayan dinasihatkan supaya terus mengambil langkah berjaga-jaga demi menjamin keselamatan terutama semasa keadaan cuaca aktif.

Jabatan ini akan terus memantau keadaan semasa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran apabila perlu mengikut Prosedur Operasi Standard jabatan.

Untuk maklumat terkini, orang ramai boleh menghubungi Pegawai Peramal Kajicuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca Brunei, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook (bruneiweather) dan aplikasi bimbit Brunei WX.

ARTIKEL YANG SAMA