Cuaca panas dijangka berterusan hingga Mei

Cuaca panas dijangka berterusan hingga Mei

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Mengikut pusingan monsun Negara Brunei Darussalam, negara masih lagi mengalami musim peralihan monsun sehingga bulan Mei atau awal bulan Jun. Semasa musim peralihan ini, luruan angin Timur Laut yang dominan sebelum ini dijangka beransur-ansur beralih menjadi dari arah Barat Daya menjelang bulan Jun.

Sepanjang tempoh ini, negara pada kebiasaannya mengalami keadaan cuaca yang panas pada waktu siang, manakala ribut petir yang aktif boleh berlaku terutama pada awal ke lewat malam, demikian menurut Jabatan Kaji Cuaca Negara Brunei Darussalam.

Manakala, fenomena El-Nino yang sedang berlaku di Lautan Pasifik sejak lewat tahun 2015 dijangka akan beransur-ansur berkurangan, kata jabatan berkenaan dalam satu kenyataan di sini.

Ramalan terkini dari pusat-pusat iklim dunia terkemuka menunjukkan keadaan di Lautan Pasifik akan perlahan-lahan menjadi neutral menjelang Jun 2016.

Sehubungan dengan itu, kesan daripada El-Nino masih dijangka berlaku dan mempengaruhi keadaan cuaca dengan suhu udara kadangkala melebihi 34 darjah Celsius pada beberapa hari di bulan Mei.

Pihak jabatan akan terus memantau keadaan cuaca dan iklim dari semasa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

Untuk mendapatkan maklumat cuaca terkini, orang ramai bolehlah menghubungi Pegawai Peramal Kajicuaca yang bertugas di Bahagian Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook (bruneiweather) dan aplikasi bimbit Brunei WX.

ARTIKEL YANG SAMA