Cuaca panas dijangka kembali normal akhir Mei

Cuaca panas dijangka kembali normal akhir Mei

KUALA LUMPUR, 27 April – Cuaca panas akibat fenomena El-Nino yang melanda negara ketika ini dijangka kembali normal menjelang akhir bulan depan, kata Pegawai Meteorologi, Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia, Khairul Najib Ibrahim.

Beliau berkata ia susulan keadaan cuaca lembap dengan hujan dan ribut petir yang berlaku pada sebelah petang di kebanyakan kawasan yang dijangka mengurangkan kesan suhu panas secara beransur-ansur.

“Keadaan ini (cuaca lembap) melibatkan beberapa kawasan termasuk pantai barat Semenanjung, bahagian barat dan tengah Sarawak serta beberapa bahagian di Sabah.

“Ini berikutan negara sedang mengalami fasa peralihan monsun di mana angina lazim biasanya lemah dan membawa hujan berserta ribut petir pada lewat petang serta kadang kala berlarutan hingga ke awal malam terutama di kawasan pantai barat Semenanjung,” katanya kepada Bernama.

El-Nino terjadi apabila suhu paras air di kawasan tengah dan timur tropika Lautan Pasifik jauh meningkat daripada suhu purata dan menyebabkan berlaku perubahan daripada segi peredaran udara.

Fenomena yang berlarutan sejak Februari lalu turut mengakibatkan beberapa negeri mengalami masalah bekalan air kerana kadar tadahan air di beberapa empangan utama berkurangan.

Bagaimanapun status gelombang haba bagi Semenanjung setakat semalam menunjukkan suhu yang agak tinggi di kawasan utara dan tengah serta kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA