Cuaca panas hingga Mac

Cuaca panas hingga Mac

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jan – Cuaca kering dan panas yang sedang dialami di negara ini sejak awal bulan ini berikutan kehadiran Fenomena El Nino berintensiti kuat di rantau Asia Pasifik, dijangka akan berterusan sehingga Mac depan.

Pemangku Pengarah Kaji Cuaca, Jabatan Kaji Cuaca, Awang Muhamad Husaini bin Aji dalam kenyataannya hari ini memberitahu, ramalan mengenai Fenomena El Nino ini adalah berdasarkan jangkaan iklim bermusim terkini yang dikeluarkan oleh pusat iklim utama dunia.

Menurut beliau, memandangkan pengaruh El Nino yang kuat di rantau ini, keadaan ini akan menyebabkan negara mengalami kekurangan hujan dan penurunan jumlah turunan hujan yang signifikan, terutama bulan Februari dan Mac nanti, iaitu tempoh paling kering bagi Negara Brunei Darussalam dari segi jumlah turunan hujan berbanding dengan bulan-bulan yang lain.

Oleh itu, cuaca kering dan panas dijangka berlaku dengan peningkatan suhu udara harian maksimum berkemungkinan melebihi 34°C.

Dalam hubungan ini, Jabatan Kaji Cuaca menasihatkan orang ramai supaya lebih mengamalkan penjimatan air dan mengelakkan pembakaran terbuka semasa cuaca kering ini.

Pada masa yang sama, orang ramai juga dinasihatkan supaya mengambil kira keadaan cuaca sebelum merancang atau membuat sebarang aktiviti-aktiviti luar, sementara itu, para pemandu dinasihatkan supaya memandu dengan berhati-hati jika berlaku jerebu dan berkabut yang boleh mengurangkan jarak penglihatan di jalan raya.

Awang Muhamad Husaini menambah, pihaknya akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat serta amaran cuaca apabila perlu.

Untuk mendapatkan maklumat cuaca terkini, orang ramai bolehlah menghubungi pegawai peramal kaji cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca Brunei, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook (bruneiweather) dan aplikasi mudah alih Brunei WX.

ARTIKEL YANG SAMA