Cuaca panas tak halang warga emas selesai misi kayuhan 3 negara

Cuaca panas tak halang warga emas selesai misi kayuhan 3 negara

ALOR SETAR, 12 Jan (Bernama) – Cuaca panas sama sekali tidak mematahkan semangat seorang warga emas untuk menamatkan pusingan kedua kayuhan solonya untuk mengelilingi Semenanjung Malaysia, Singapura dan Selatan Thailand bersempena Tahun Melawat Kelantan 2016.

Bagi Wan Hashim Wan Mahmood, 71, semangat kentalnya untuk menghabiskan tiga pusingan tetap tersemat dan yakin mampu menghabiskan kesemua pusingan itu dalam tempoh lebih sebulan lagi.

“Alhamdulillah baik musim hujan pada pusingan pertama dan kini berdepan cuaca yang begitu panas, semuanya dapat ditempuhi dengan baik dan keadaan kesihatan juga tidak terjejas walaupun sedikit kepenatan.

“Saya mengharapkan sokongan seluruh masyarakat termasuk keluarga agar saya dapat menyelesaikan misi kayuhan sejauh 8,000 kilometer ini,” katanya kepada Bernama sebaik tiba di bandar raya ini, petang semalam.

Wan Hashim yang mula melakukan kayuhan kedua pada 22 Disember lepas dari Kota Baharu, Kelantan berkata mental yang kuat membolehkannya berhadapan dengan pelbagai cabaran tersebut tanpa sebarang masalah serius.

Wan Hashim (kiri) menunjukkan poster Tahun Melawat Kelantan 2016 ketika ditemui di Dataran Balai Besar Alor Setar, semalam. – Bernama
Wan Hashim (kiri) menunjukkan poster Tahun Melawat Kelantan 2016 ketika ditemui di Dataran Balai Besar Alor Setar, semalam. – Bernama

Memulakan misi kayuhan pada 26 November tahun lalu, Wan Hashim berkata dua kayuhannya dengan cuaca yang berbeza itu membolehkannya kini lebih bersedia untuk melakukan kayuhan bagi pusingan terakhir nanti.

Pemegang Malaysia Book of Records sebagai pengayuh basikal tertua mengelilingi semenanjung Malaysia pada April tahun lalu, berkata tiga kayuhan berturut-turut itu juga sebagai persediaannya untuk misi kayuhan ke negara Eropah pada masa depan.

Wan Hashim berusaha melengkapkan kayuhan tiga pusingan mengelilingi tiga negara sejauh 8,000 kilometer dalam tempoh 80 hari.

Hari ini beliau akan berkayuh dari sini ke Padang Besar, Perlis yang jaraknya hampir 100 kilometer sebelum ke Hadyai, Thailand esok.

Beliau dijangka tiba di Kota Baharu Sabtu ini bagi melengkapkan pusingan kedua dan kemudian berkayuh semula untuk pusingan terakhir.

ARTIKEL YANG SAMA