Cuba rasuah polis

Cuba rasuah polis

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Sept – Kerana cuba memberi rasuah kepada anggota polis, seorang lelaki warga Bangladesh telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret bagi menghadapi pertuduhan kesalahan jenayah di bawah Bab 6(b) Akta Pencegahan Rasuah (Penggal 131).

Bagaimanapun, semasa dihadapkan ke mahkamah, Dalim Sahid Ullah, mengaku tidak bersalah, dan Majistret Azrimah binti Haji Abdul Rahman membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa raya agar tertuduh tidak dilepaskan dengan ikat jamin.

Majistret memerintahkan supaya tertuduh ditahan reman di Penjara Jerudong sehingga sebutan lanjut kes pada 15 September 2015 jam 2.15 petang.

Menurut kenyataan Biro Mencegah Rasuah (BMR), siasatan yang dijalankan mendapati tertuduh, Dalim Sahid Ullah, pada 14 November 2013 di G31 Jalan Tengah, Anduki Seria, dengan secara tidak jujur telah memberi wang rasuah berjumlah $30 kepada seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dari Jabatan Siasatan Kawalan Lalu Lintas, Pasukan Polis Diraja Brunei.

Wang rasuah tersebut diberikan sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap tertuduh yang telah memandu melebihi had laju dan memandu tanpa lesen memandu Negara Brunei Darussalam yang sah. Pegawai Pendakwa kes ini ialah Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurjauinah binti Haji Kula.

ARTIKEL YANG SAMA