Cubaan bawa masuk fahaman militan ke Sarawak

Cubaan bawa masuk fahaman militan ke Sarawak

MIRI, 19 Jan – Polis telah mengesan cubaan membawa fahaman militan ke Sarawak oleh pihak yang terpengaruh dengan kegiatan ekstremis Daesh.

Supt Ahmad Norisham Ma’arus daripada Bahagian Siasatan dan Perundangan Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, enggan mendedahkan sama ada kegiatan tersebut bertindak secara individu atau berkumpulan, namun mengesahkan keadaan masih terkawal serta tidak perlu dibimbangkan.

“Pemantauan serta siasatan (terhadap pihak bawa masuk fahaman militan) masih diteruskan oleh polis Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas taklimat berhubung bahaya ancaman kumpulan ekstremis dan militan, di sini hari ini.

Beliau berkata, setakat ini identiti kewarganegaraan pihak yang cuba membawa masuk fahaman militan tersebut ke Sarawak tidak boleh didedahkan kepada umum.

“Kalau kami dedah semua, pihak yang terlibat akan sedar mereka dipantau, ini bukan melibatkan satu pihak sahaja tapi satu rangkaian yang besar,” katanya.

Beliau berkata, pindaan dan kewujudan undang-undang baharu seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 2013 dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) banyak membantu polis menghalang fahaman militan menyusup masuk ke Sarawak.

Terdahulu semasa sesi soal jawab bersama-sama peserta, Supt. Ahmad Norisham berkata Kuching telah dikenal pasti sebagai lokasi sasaran pihak tersebut untuk menyebarkan fahaman militan itu.

Beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai pengajian agama secara dalam talian yang menjurus kepada fahaman militan supaya membuat laporan kepada polis dengan segera.

Katanya media sosial adalah kaedah popular digunakan oleh kumpulan militan tersebut untuk mencari anggota baharu. – Bernama