Cubaan curi kayu bakau, berjaya ditumpaskan

Cubaan curi kayu bakau, berjaya ditumpaskan

SANDAKAN, 30 Julai (Bernama) – Polis Marin menggagalkan cubaan mencuri kayu bakau di Hutan Simpan Batu 3 dekat sini selepas merampas 46 batang kayu bakau dalam satu operasi semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Madun berkata turut dirampas dalam operasi pada pukul 11.35 pagi itu ialah dua bot laju.

Katanya beberapa lelaki yang sedang menebang kayu bakau di tepi sungai di hutan itu dapat melarikan diri manakala kesemua 46 batang kayu bakau itu berada di dalam sebuah bot laju.

Anggaran nilai rampasan termasuk dua bot laju dan sebuah enjin sangkut ialah RM10,000, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesalahan itu dilakukan di bawah Enakmen Perhutanan Negeri Sabah kerana mengambil atau memotong kayu tanpa kebenaran di kawasan Hutan Simpan.

Menurutnya kayu bakau yang dirampas itu telah diserah kepada Jabatan Perhutanan Sandakan untuk tindakan lanjut. Dalam kes berasingan, Mazlan berkata lima Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan ketika cuba masuk secara haram ke daerah ini di perairan Batu 3 dekat sini tengah malam tadi.

Katanya bot laju dinaiki empat lelaki dan seorang wanita itu ditahan oleh bot peronda Polis Marin pada pukul 12.10 tengah malam tetapi juragan bot berjaya melarikan diri.

Menurutnya lima PATI yang ditahan itu berusia antara 16 hingga 74 tahun dan tidak memiliki pengenalan diri yang sah yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/1963.