Cubaan gagal seludup 30 tan kelapa sawit

Cubaan gagal seludup 30 tan kelapa sawit

TAWAU, 24 Jan – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas kira-kira 30 tan kelapa sawit bernilai RM12,000 sekali gus menggagalkan cubaan menyeludup bahan komoditi itu untuk pasaran di daerah ini, Jumaat lepas.

Ketua Penguat kuasa Maritim Tawau, Kapten Anor Jaafar berkata rampasan buah kelapa sawit dipercayai dari Indonesia itu dilakukan selepas pihaknya memeriksa sebuah bot jongkong di perairan Tawau kira-kira 3.20 petang. Beliau berkata bot jongkong berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari arah Sungai Nyamuk, Indonesia ke Tawau, ditahan dan diperiksa lalu menemukan buah kelapa sawit tersebut bersama seorang juragan bot.

“Juragan bot yang juga warga tempatan berumur lingkungan 30-an itu ditahan berikutan gagal menunjukkan dokumen permit membawa buah kelapa sawit, dan buah itu turut dirampas di bawah Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kes berasingan, APMM turut menahan enam pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk juragan sebuah bot selepas gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri di kawasan kira-kira 1.7 batu nautika Tenggara Sungai Tawau pada hari sama.

Anor berkata pasukan APMM mengesan serta menahan sebuah bot pam dalam keadaan mencurigakan kira-kira 1.40 petang, dipercayai dari Tawau menuju ke Sungai Nyamuk, Indonesia.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati seorang juragan berumur 37 tahun dan lima awak-awak terdiri daripada dua kanak-kanak perempuan serta dua wanita dewasa berumur enam hingga 38 tahun gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya. – Bernama